ANTARA Toyota Camry baharu dibeli kerajaan negeri Kedah untuk kegunaan EXCO. FOTO NOORAZURA ABDUL RAHMAN
ANTARA Toyota Camry baharu dibeli kerajaan negeri Kedah untuk kegunaan EXCO. FOTO NOORAZURA ABDUL RAHMAN
Noorazura Abdul Rahman


PEMBELIAN 10 Toyota Camry baharu untuk kegunaan EXCO negeri menggantikan Proton Perdana dilihat sebagai keperluan berikutan kerajaan negeri terpaksa menanggung kos penyelenggaraan tinggi sepanjang tahun.

Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, pembelian itu dibuat selepas kereta nasional yang digunakan lebih lima tahun sebelum ini sering rosak dan perlu dihantar ke bengkel untuk diperbaiki.

“Ada kereta rosak di tengah jalan, maka kita rasa sudah sampai masanya perlu ditukar baharu tapi apa yang kita lakukan adalah dengan ‘trade in’ kereta lama (Proton Perdana).

“Jadi kos beli kereta baharu tidaklah terlalu tinggi dan kos selenggara kereta baharu juga dapat dikawal kerana masih dalam jaminan,” katanya selepas Majlis Penghargaan Pasukan Khas Olimpik Kedah, Malaysia di Wisma Darul Aman, Alor Setar, petang ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan ketua pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor di laman sosial Facebook yang hairan kerajaan negeri mempunyai wang yang banyak membeli kereta berkenaan.

Mengulas lanjut, Mukhriz berkata, pertukaran kereta baharu bagi mengawal kos penyelenggaraan bukanlah perkara pelik dilakukan kerajaan negeri.

Katanya, ini kerana negeri lain turut melakukan perkara sama bagi mengawal kos pengangkutan.

“Yang penting semua EXCO kita dapat jalankan tugas dan tanggungjawab mereka di mana-mana saja dengan selamat dan selesa.

“Bukan semua EXCO ada kereta baharu ini, ada lagi yang masih guna kereta yang lama,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Ogos 2019 @ 7:46 PM