TAN Kok Yew. FOTO Arkib NSTP
TAN Kok Yew. FOTO Arkib NSTP
Noorazura Abdul Rahman


BARISAN Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) Kedah belum membuat sebarang keputusan mengenai status mereka susulan kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH) di peringkat Pusat.

Pengerusi DAP Kedah, Tan Kok Yew berkata, pihaknya perlu menunggu kepulangan Menteri Besar, Datuk Seri Muhkriz Mahathir, sebelum memuktamadkan kedudukan mereka dalam kerajaan negeri.

“Kita belum mengadakan mesyuarat dengan barisan EXCO, kita tunggu sehingga Mukhriz pulang ke Kedah.

“Begitu juga dengan DAP Pusat, saya belum mengadakan perbincangan dengan pucuk pimpinan DAP mengenai status kami di sini,” katanya ketika dihubungi di Alor Setar, hari ini.

Di Kedah, barisan EXCO negeri dianggotai gabungan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PH dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Selepas Bersatu mengumumkan keluar PH pada 24 Februari lalu, Mukhriz yang juga Timbalan Presiden Bersatu mengekalkan kerajaan negeri sedia ada berikutan mendapat sokongan ADUN PH.

Mukhriz dipetik berkata, keputusan itu dicapai selepas semua parti bersetuju membentuk gabungan PH campur Bersatu peringkat Kedah.

  • Lagi berita berkaitan desas-desus pakatan baharu
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Mac 2020 @ 3:00 PM