POKOK tumbang melintangi Jalan Slim River-Sungkai berhampiran SMK Datuk Zulkifli Mohamad, Slim River, hari ini sehingga menyebabkan berlaku kesesakan lalu lintas. FOTO Rosman Shamsudin.
POKOK tumbang melintangi Jalan Slim River-Sungkai berhampiran SMK Datuk Zulkifli Mohamad, Slim River, hari ini sehingga menyebabkan berlaku kesesakan lalu lintas. FOTO Rosman Shamsudin.
Rosman Shamsudin


TIGA pokok termasuk satu daripadanya setinggi 20 meter tumbang melintangi Jalan Slim River-Sungkai berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Zulkifli Mohamad, Slim River dalam kejadian ribut, hari ini.

Kejadian pada 5.45 petang itu susulan hujan lebat serta angin kencang mengakibatkan perhentian bas, lampu isyarat dan papan tanda sekolah berkenaan turut rosak selain menyebabkan kesesakan lalu lintas lebih sejam di kawasan berkenaan.

Tinjauan mendapati sebatang pokok menghempap pencawang elektrik di Taman Slim Indah mengakibatkan jalan masuk ke taman berkenaan terhalang.

Ribut turut melanda kawasan Slim Perdana dengan tiga papan tanda sebuah pasar raya runtuh akibat ditiup angin kuat.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Slim River, Shaizul Amir Malek berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada 6.19 petang.

Beliau berkata, bomba dibantu Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Tenaga Nasional Berhad (TNB), Jabatan Kerja Raya (JKR), Majlis Daerah Tanjung Malim (MDTM) serta anggota polis menjalankan operasi mengalih dan membersihkan pokok yang tumbang akibat ribut berkenaan.

“Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan hanya kesesakan jalan raya di laluan terjejas.

“Pihak berkuasa mengambil masa kira-kira satu jam setengah untuk membersihkan pokok tumbang di jalan itu,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Penduduk, K Maniam, 50, berkata hujan bermula pada 5.45 petang dan disusuli angin kencang hingga mengakibatkan beberapa pokok tumbang dan ketika itu dia sedang menunggang motosikal untuk ke pekan.

“Dalam masa beberapa minit sahaja, saya lihat tiga pokok tumbang dengan sebatang melintangi jalan manakala dua lagi tumbang berdekatan jalan masuk stesen minyak dan berhampiran pencawang elektrik Taman Slim Indah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Ogos 2019 @ 8:43 PM