BEBERAPA kawasan di sekitar Shah Alam dinaiki air, semalam.
BEBERAPA kawasan di sekitar Shah Alam dinaiki air, semalam.
Oleh Mohd Hasbi Sidek

Shah Alam: Hujan lebat dan angin kencang lebih dua jam di bandar raya ini petang semalam, mengakibatkan beberapa kawasan mengalami banjir kilat.

Dalam kejadian jam 3 petang itu, sebatang pokok dilaporkan tumbang di Taman Bukit Saga Seksyen 26, di sini dan menghempap sebuah sekolah menengah agama.

Penguat kuasa Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) bergegas ke lokasi kejadian untuk mengalihkan dan menebang pokok besar berkenaan.

Tinjauan mendapati Sungai Damansara melimpah dan menyebabkan banjir sedalam antara 0.3 hingga 0.8 meter menyebabkan kesesakan di Lebuhraya Baru Lembah Klang selepas Plaza Tol Shah Alam menghala ke Taman Tun Dr Ismail (TTDI).

Beberapa kenderaan tersekat dan mengakibatkan kesesakan hampir dua kilometer dan pengguna terpaksa menggunakan laluan alternatif.

Bomba dan Penyelamat Selangor melaporkan kawasan sekitar Batu Tiga berhampiran Stesen KTM juga dinaiki air.

Penolong Pengarah Operasi Bomba Selangor Mohd Sani Harul berkata, keadaan masih terkawal.

“Bagaimanapun keadaan berkenaan menyebabkan kesesakan di Jalan Jubli Perak berhampiran kilang gula dari kedua-dua arah,” katanya ketika dihubungi semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 April 2015 @ 7:09 AM