ANGGOTA APM menjalankan kerja pembersihan pokok tumbang di beberapa kawasan terjejas di Selayang, Kepong dan Gombak. FOTO ihsan APM
ANGGOTA APM menjalankan kerja pembersihan pokok tumbang di beberapa kawasan terjejas di Selayang, Kepong dan Gombak. FOTO ihsan APM
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


BEBERAPA kawasan di sekitar Kepong, Selayang dan Gombak terjejas akibat dilanda ribut dan angin kencang, petang semalam.

Kejadian 6.50 petang itu mengakibatkan sebuah rumah rosak dan lebih 30 jalan di kawasan berkenaan terjejas akibat pokok tumbang.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kuala Lumpur, Leftenan (PA) Shahrul Kamar Mohd Johari berkata, pihaknya menerima 50 laporan kejadian pokok tumbang akibat ribut dan angin kencang berkenaan.

“Anggota APM bergegas membuat tinjauan sebelum melakukan operasi pembersihan kawasan bagi memudahkan pergerakan awam yang terganggu akibat pokok tumbang.

“Antara lokasi berkenaan adalah Bandar Baru Selayang, Taman Selayang Mutiara, Pasar Borong Selayang, Kampung Padang Balang, Taman Kepong Indah, Batu Muda, Kampung Bendahara dan Taman Gombak Ria,” katanya.

Shahrul Kamar berkata, kerja pembersihan di kawasan terjejas kini sedang giat dijalankan dengan bantuan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

“Operasi pembersihan sedang dijalankan dan dijangka siap pada awal pagi ini.

“Setakat ini tiada sebarang kecederaan dilaporkan akibat kejadian berkenaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Julai 2019 @ 12:43 AM