GAMBAR kenangan Nur Atiqah bersama bapanya, Mohd Idris Berahim. FOTO Ihsan Nur Atiqah.
GAMBAR kenangan Nur Atiqah bersama bapanya, Mohd Idris Berahim. FOTO Ihsan Nur Atiqah.
Nor Amalina Alias


PELAKON dan pelawak terkenal dialek Kelantan, Abe Jali Salam Pantai Timur meninggal dunia di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) Kota Bharu, hari ini.

Abe Jali atau nama sebenarnya, Mohd Idris Berahim, 58, menghembuskan nafas jam 4 pagi tadi.

Sebelum itu, Abe Jali dimasukkan ke hospital pada Jumaat lalu selepas mengadu tiada selera makan dan diserang angin ahmar kali kedua yang menyebabkan mulut dan badannya lumpuh.

Anaknya, Nur Atiqah Idris, 23, berkata, dia berada di Melaka mengikuti pengajian Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM),

ketika dihubungi keluarga yang memaklumkan bapanya sudah meninggal dunia.

Katanya, sebelum itu keluarga sudah memberitahunya bapanya berada dalam keadaan tenat dan memintanya pulang segera.

“Sepatutnya tiga hari lagi saya pulang ke kampung kerana sedang menduduki peperiksaan akhir semester ketika ini, namun tak sempat jumpa ayah.

“Setiap kali pulang, ayah sentiasa pesan supaya saya belajar rajin-rajin dan kali terakhir jumpa ayah ketika hari raya Aidilfitri lalu,” katanya ketika dihubungi di Bachok, hari ini.

Sementara itu, kakak sulung arwah, Mek Som Berahim, 64, berkata, Khamis lalu ketika melawat Abe Jali, arwah kelihatan lemah menyebabkan keluarga mengambil keputusan untuk membawanya ke hospital.

“Ketika mahu menyuap dia makan, dia bercakap pun sudah tidak jelas dan kami tak faham, badan pun nampak tidak bermaya jadi kami bawa ke hospital.

“Tengah malam tadi, ketika salah seorang anak saya jaga, arwah nampak lelah sebelum kami memanggil doktor dan sahkan dia meninggal dunia, ” katanya.

Mek Som memberitahu jenazah kini berada di rumahnya di Kampung Naka kira-kira lima kilometer dari rumah yang didiami arwah ketika sakit dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Naka, Bekelam selepas asar bagi menunggu ketibaan pulang anaknya dari Melaka.

Akhbar sebelum ini melaporkan, Abe Jali berada dalam keadaan uzur selepas diserang angin ahmar selain menghidap penyakit kencing manis sehingga kaki kanannya dipotong hingga paras lutut Julai tahun lalu.

Beliau kemudian tinggal bersama ibunya yang uzur Mek Nab Samat, 80, selain dijaga adik-beradik dan anak saudara di Kampung Naka, Bekelam.

Arwah sebelum ini terkenal sebagai pelakon dan pelawak sitkom dialek Kelantan, Salam Pantai Timur tahun 2007 selain aktif sebagai pengacara majlis dan persembahan dikir barat.

Arwah meninggalkan dua anak hasil perkahwinan pertama iaitu Nur Atiqah dan adiknya, Nurul Asyikin, 17.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Ogos 2019 @ 10:16 AM