Siti Nor Hidayatidayu Razali


“ANAK saya seorang yang berani dan mengikut ayahnya menangkap ular sejak berusia setahun lagi," kata Che Som Mohd Saud mengenai pakar ular Abu Zarin Hussin yang meninggal dunia akibat dipatuk ular tedung dalam operasi di Bentong, Pahang, baru-baru ini.

Che Som, 55, berkata Abu Zarin, 33, sentiasa mahu membantu masyarakat terutama daripada ancaman ular berbisa, namun Allah SWT sudah menetap ajalnya apabila dipatuk ular.

"Ketika kecil dia hanya mengikut ayahnya (menangkap ular) sebelum menyertai bomba 10 tahun lalu dan bersama pasukan menangkap ular," katanya dengan nada sedih ketika ditemui di rumahnya di Permatang Pasir, Bukit Abal, Pasir Puteh, hari ini.

Sementara itu, hujan renyai mengiringi pengebumian jenazah Abu Zarin yang juga pakar ular di Tanah Perkuburan Islam Permatang Pasir, Bukit Abal.

Jenazah anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Temerloh yang turut dikenali sebagai Wira Penyelamat itu dikebumikan pada 3.10 petang.

Terdahulu jenazah yang dibawa dari Hospital Sultan Ahmad Shah (HOSHAS) Temerloh, Pahang, dengan kenderaan bomba tiba di rumahnya jam 11.50 pagi untuk dimandi dan dikafankan sebelum dibawa ke Masjid Permatang Pasir.

Lebih 100 orang termasuk ahli keluarga, rakan sekerja dan penduduk kampung menghadiri pengebumian itu.

Che Som berkata, kali terakhir dia berjumpa arwah pada 21 Januari lalu apabila pulang sehari untuk membawa anak angkatnya, Afifah Fathia Imran berusia tujuh bulan ke klinik bagi mengubati ekzema.

Katanya, anaknya berkahwin dengan pasangan, Aziena Fahana Mohd, 31, sejak lapan tahun lalu dan tidak mempunyai anak.

"Anak terlalu sibuk hingga sukar untuk pulang ke kampung, tetapi dia setiap hari akan berhubung menerusi aplikasi WhatsApp dengan adik bongsunya, Nor Sofi Sofia.

"Arwah anak memaklumkan mahu pulang ke kampung dalam masa terdekat dan mengambil cuti lama. Saya tidak menyangka hasratnya mahu berada lama di kampung sebenarnya petanda dia akan meninggalkan kami sekeluarga," katanya.

Rakan baik arwah, Safiq Mohamad, 26, berkata rakannya itu seorang yang berani dan komited pada kerja apabila akan bergegas ke lokasi untuk menangkap ular selepas mendapat panggilan telefon.

Dia yang bertugas di BBP Wakaf Tapai, Terengganu, mengenali arwah sejak enam tahun lalu dan mereka sering berjumpa ketika mengadakan kursus pengendalian ular.

"Arwah perintis kepada Skuad King Cobra dan saya bersama-samanya melatih anggota lain cara menangkap dan pengendalian ular serta haiwan berbisa.

"Rakan sentiasa memberi peringatan kepada pasukan dan orang ramai supaya berhati-hati ketika berdepan dengan ular. Abu Zarin memberi fokus kepada bertugas bagi memastikan keselamatan orang lain walaupun dia sudah beberapa kali dipatuk ular," katanya.

Abu Zarin yang terkenal dengan kemahiran menjinak dan menangkap ular meninggal dunia di HOSHAS Temerloh, jam 12.54 tengah malam tadi.

Arwah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) HOSHAS selepas dipatuk ular tedung dalam operasi di Bentong dan dia dilaporkan menunjukkan perkembangan positif apabila mulai sedar tengah hari Selasa lalu.

PASIR PUTEH 16 MAC 2018. Jenazah anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Temerloh Abu Zarin Hussin, 33 yang turut dikenali sebagai Wira Penyelamat selamat dikebumikan pada jam 3.10 yang dihadiri ahli keluarga dan saudara mara arwah di Tanah Perkuburan Islam Permatang Gading, Bukit Abal, Pasir Puteh. NSTP/SYAMSI SUHAIMI

Berita berkaitan

'Abu Zarin rakan yang berani'

Pakar ular bomba meninggal dunia

Tergamam lihat abang bomba dipatuk ular

Dah tak takut pegang ular

'Tahun depan saya cuba lagi...' [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Mac 2018 @ 4:45 PM
JENAZAH Abu Zarin dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Permatang Pasir, Bukit Abal, Pasir Puteh, petang ini. FOTO Syamsi Suhaimi
JENAZAH Abu Zarin dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Permatang Pasir, Bukit Abal, Pasir Puteh, petang ini. FOTO Syamsi Suhaimi