Muhammad Nazrul menunjukkan gambar terakhir yang dirakam bersama Allahyarham Muhammed Ahsan dan Muhammad Fakhrul ketika meraikan rakan mereka yang akan bertukar sekolah di sebuah restoran di Kepala Batas. FOTO Nur Izzati Mohamad
Muhammad Nazrul menunjukkan gambar terakhir yang dirakam bersama Allahyarham Muhammed Ahsan dan Muhammad Fakhrul ketika meraikan rakan mereka yang akan bertukar sekolah di sebuah restoran di Kepala Batas. FOTO Nur Izzati Mohamad
Nur Izzati Mohamad


Kepala Batas: 'Kami baru saja berpisah antara 10 ke 15 minit dan terkejut sangat mendapat berita memaklumkan dua rakan kami maut dalam kemalangan," kata seorang guru, Muhammad Nazrul Firdaus Jelani.

 Muhammad Nazrul,32, berkata dia sebelum itu bertemu dengan Allahyarham Muhammed Ahsan Mohamed Ayub,32 dan Muhammad Fakhrul Rodzi Fauzi,31 di sebuah restoran dekat sini bagi meraikan seorang rakan guru mereka yang akan bertukar.

 Katanya, sepanjang pertemuan semua mereka hanya berbual biasa sambil menikmati makanan sebelum  pulang ke rumah masing-masing.

 "Saya serta dua arwah tinggal di sebelah pulau dan kebetulan guru yang ingin berpindah tinggal di Seberang Perai maka kami datang ke restoran berdekatan.

 "Ikutkan kedua-dua arwah ajak saya naik sekali dengan mereka tetapi ada hal maka saya hanya menunggang motosikal sendiri datang ke sini.

 "Namun, tidak sampai 10 ke 15 minit kami berpisah, saya dimaklumkan mereka berdua terbabit kemalangan dan maut di lokasi kejadian yang menyebabkan saya benar-benar terkejut," katanya ketika ditemui di luar unit forensik Hospital Kepala Batas (HKB), di sini, hari ini.

 Kira-kira 100 guru yang mengenali kedua-dua arwah dilihat hadir memberi penghormatan terakhir.

 Katanya, Muhammed Ahsan adalah guru Bahasa Inggeris di Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Bunga dan Muhammad Fakhrul pula guru Pendidikan Islam di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Phei Shin di Bukit Dumbar, Jelutong.

 "Dua arwah ini sangat baik dan suka membantu rakan-rakan guru yang lain. Arwah Fakhrul dia seorang guru yang berpotensi dan banyak memenangi anugerah, manakala arwah Ahsan yang mempunyai seorang anak perempuan berusia tiga tahun disifatkan bapa serta suami yang penyayang.

 "Selalunya bila datang ke belah sini (Seberang Perai) Ahsan akan menggunakan lebuh raya (pergi dan pulang) tetapi tidak sangka semasa kejadian mereka pulang ikut jalan bawah, namun sudah tertulis ajal mereka yang kita tidak mampu mengubahnya," katanya.

 Sementara itu, ibu saudara kepada Muhammad Fakhrul iaitu Nur Murni Abdullah,43, berkata anak saudaraya itu kerap meminta maaf sejak kebelakangan ini seolah-olah tahu bahawa dia akan pergi buat selama-lamanya.

 "Saya teringat kepada bapanya (ayah Fakhrul) yang ketika itu suka meminta maaf sebelum meninggal dunia. Kini Fakhrul pula apabila dia kerap meminta maaf dengan kami semua.

 "Dia anak keempat dari lima beradik dan tinggal dengan ibunya di Farlim dan belum lagi berkahwin.

  

 "Walaupun seorang yang pendiam tetapi dia seorang anak yang sangat baik serta mengutamakan keluarga," katanya

Jenazah Muhammed Ahsan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Zoo di Air Itam, dekat sini, manakala Muhammad Fakhrul dibawa ke Kampung Belukar Luas Naka, Kedah untuk dikebumikan berdekatan dengan kubur arwah bapanya selepas solat Asar.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Disember 2023 @ 4:29 PM