Roslan (tengah) menunjukkan barangan pecah rumah yang dirampas. FOTO Muhaamad Hafis Nawawi
Roslan (tengah) menunjukkan barangan pecah rumah yang dirampas. FOTO Muhaamad Hafis Nawawi
Muhaamad Hafis Nawawi


TAKTIK penjenayah berusia 39 tahun mencuri barangan di rumah sewa lelaki warga New Zealand bernilai RM320,000 selama dua minggu ketika ketiadaan mangsa sia-sia apabila dia ditahan semalam.

Malah suspek yang sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak itu seolah-olah menjadikan rumah banglo tiga tingkat di Jalan Bukit Pantai, Kuala Lumpur, seperti stor mengambil barangan untuk dijual.

Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Roslan Bek Ahmad berkata, suspek mengambil kesempatan apabila penyewa berusia 68 tahun itu pulang bercuti ke negara asalnya selama sebulan.

Katanya, tambahan lokasi rumah itu yang jauh dari perumahan lain sementara sebuah lagi rumah banglo di sebelahnya yang tidak berpenghuni menyebabkan suspek mudah melakukan kegiatannya.

“Suspek mengambil pelbagai barangan elektrik dan barangan lain di dalam rumah dengan memecah masuk melalui tingkap di tingkat atas sebelum mengangkutnya menggunakan motosikal.

“Manakala barangan yang berat dan besar suspek akan menanggalkannya kepada komponen kecil sebelum dibawa pulang dan dipasang semula untuk dijual di pasar karat,” katanya kepada pemberita pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, hari ini.

Roslan berkata, mangsa hanya menyedari rumah sewanya dipecah masuk pada 1 Ogos lalu jam 9.24 pagi sebelum membuat laporan polis.

“Polis kemudian mengesannya sebelum menahan lelaki itu jam 5.30 petang kelmarin ketika dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Projek Perumahan Rakyat (PPR), Pantai Baru,” katanya.

Beliau berkata, polis turut menemui semula separuh barangan mangsa bernilai RM140,000 yang masih belum dijual.

“Semakan mendapati suspek memiliki enam rekod jenayah lampau membabitkan kes pecah rumah, ceroboh dan empat kes dadah.

“Suspek direman enam hari bermula semalam bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Ogos 2019 @ 2:34 PM