Dziyaul Afnan Abdul Rahman


BERANG rumah ibunya disewakan kepada orang lain, lelaki bertindak merosakkan kereta dan membakar barangan milik penyewa yang juga pegawai kanan polis wanita di Taman Kangar, Kangar semalam.

Ketua Polis Perlis, Datuk Noor Mushar Mohd berkata, suspek berusia 34 tahun itu bertindak membakar barangan peribadi dan memecahkan cermin hadapan serta sisi kereta jenis Toyota Vios milik pegawai polis terbabit.

Katanya, bagaimanapun suspek berjaya diberkas malam tadi sejurus pihaknya menerima panggilan kecemasan yang dibuat pegawai polis berkenaan.

“Dalam kejadian jam 9.30 malam itu, suspek dipercayai memecah masuk rumah mangsa yang ketika itu baru pulang dari keluar makan malam.

“Sejurus tiba di kawasan rumahnya, suspek membakar barangan peribadinya seperti beg tangan berjenama dan pakaian selain jam tangan milik mangsa dipecahkan.

“Suspek yang melihat pegawai polis itu pulang ke rumah cuba menyerangnya namun berjaya dihalang mangsa dan rakannya,” katanya.

Noor Mushar berkata, siasatan mendapati suspek tidak bekerja dan tidak berpuas hati kerana ibunya menyewakan rumah berkenaan kepada mangsa.

“Mangsa baru menyewa rumah berkenaan dua hari lalu.

“Suspek direman empat hari sehingga Selasa ini mulai hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan, Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan Seksyen 435 Kanun Keseksaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Februari 2019 @ 5:28 PM