Hafidzul Hilmi Mohd Noor


POLIS menumpaskan sindiket perjudian dalam talian selepas menyerbu tiga banglo mewah yang dijadikan sebagai pusat panggilan di Batu 14, di Puchong, hari ini.

Serbuan pada jam 3.30 petang itu dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Bukit Aman berjaya menahan 54 individu termasuk empat wanita.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed berkata, suspek yang ditahan dipercayai pekerja warga China berusia 18 hingga 54 tahun.

Menurutnya, pemeriksaan di semua banglo tiga tingkat itu membawa kepada penemuan 60 komputer, 313 telefon bimbit, enam modem serta tujuh unit router.

“Suspek tinggal di rumah ini dengan tingkat bawah dijadikan ruang untuk makan, tingkat dua untuk tidur dan tingkat atas untuk bekerja.

“Mereka ini mempromosi kegiatan judi dalam talian menerusi aplikasi WeChat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati, pusat panggilan judi ini beroperasi sejak tiga bulan lalu.

“Pelanggan mereka adalah warga China dan keuntungan dicatat sehari adalah RM350,000.

“Polis juga mendapati banglo ini disewa dengan harga RM3,000 hingga RM4,000 sebulan,” katanya.

Menurutnya, polis kini sedang mengesan pemilik banglo itu serta individu yang menghantar makanan kepada mereka.

“Semua suspek akan dibawa menjalani pemeriksaan kesihatan terlebih dahulu sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 April 2020 @ 8:24 PM