MAYAT mangsa yang ditemui lemas dibawa ke jeti Kompleks Maritim Tun Abang Salahuddin, Muara Tebas. Syed Aiman (gambar kecil). FOTO Ihsan APMM
MAYAT mangsa yang ditemui lemas dibawa ke jeti Kompleks Maritim Tun Abang Salahuddin, Muara Tebas. Syed Aiman (gambar kecil). FOTO Ihsan APMM
Norsyazwani Nasri


LELAKI lemas, manakala cucunya terselamat selepas perahu dinaiki mereka karam dipukul ombak di Tanjung Po dekat Bako, Kuching, hari ini.

Kejadian berlaku pada 10 pagi sebelum mayat Mohd Hassan Abdullah, 59, ditemui pasukan mencari dan menyelamat (SAR) kira-kira 11.40 pagi, manakala remaja lelaki Syed Aiman Syed Ridzuan, 14, diselamatkan nelayan di perairan itu.

Jurucakap Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Wilayah Sarawak berkata, laporan kecemasan berhubung kejadian diterima Pusat Operasi Maritim Wilayah Sarawak pada 10.45 pagi.

“Sejurus aduan diterima, sebuah bot maritim PENGAWAL 6 digerakkan ke tempat kejadian dan operasi SAR turut dibantu dua bot nelayan tempatan.

“Mayat lelaki dewasa (Mohd Hassan) ditemui pada jarak lebih kurang lapan batu nautika dari Muara Tebas lalu dibawa ke jeti Kompleks Maritim Tun Abang Salahuddin sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, sebelum kejadian kedua-dua mangsa yang berasal dari Kampung Muara Tebas keluar ke laut untuk menangkap ikan.

“APMM menasihatkan komuniti nelayan supaya mengambil berat keselamatan diri terutama ketika musim tengkujuh ini.

“Sebaik-baiknya pakai jaket keselamatan ketika keluar ke laut, dan bawa pelampung keselamatan di bot sebagai langkah berjaga-jaga,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Disember 2017 @ 4:59 PM