Nur Saliawati Salberi


PADAH membawa lari wanita yang berstatus isteri orang, peniaga didenda RM2,000 Mahkamah Majistret Ayer Keroh, hari ini.

Majistret Muhammad Nazrin Ali Rahim menjatuhkan hukuman itu ke atas tertuduh Zahari Zainul Abidin, 30, selepas dia membuat pengakuan bersalah sejurus pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa membawa lari Masturah Said, 21, yang dalam pengetahuannya wanita itu berstatus isteri orang dengan niat melakukan persetubuhan haram.

Perbuatan itu dilakukan tertuduh di sebuah bilik hotel di Kuala Lumpur, kira-kira 4 pagi, pada 4 September 2018.

Justeru, dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 498 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, laporan polis dibuat oleh suami wanita berkenaan selepas mendapati isterinya itu keluar rumah.

Malah, suami wanita berkenaan juga diminta memindahkan wang berjumlah RM10,000 ke dalam akaun wanita terbabit.

Prosiding pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya Intan Lyiana Zainal Abidin memohon hukuman setimpal dikenakan dengan mengambil kira wanita terbabit juga adalah isteri orang.

Tertuduh yang juga bapa kepada tiga anak diwakili peguam Muhammad Farhan Mirza Azme merayu agar hukuman ringan dikenakan dengan alasan anak guamnya itu sudah insaf.

Beliau berkata, tertuduh juga perlu menanggung keluarga selain hanya berpendapatan kira-kira RM1,500 sebulan.

Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, mahkamah kemudian memerintahkan tertuduh didenda RM2, 000 atau empat bulan penjara sekiranya gagal membayar denda.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Julai 2019 @ 3:59 PM
ZAHARI (tengah) diiringi polis keluar dari Mahkamah Majistret Ayer Keroh. FOTO Rasul Azli Samad
ZAHARI (tengah) diiringi polis keluar dari Mahkamah Majistret Ayer Keroh. FOTO Rasul Azli Samad