TERTUDUH difahamkan tidak membayar denda. FOTO Nur Saliawati Salberi.
TERTUDUH difahamkan tidak membayar denda. FOTO Nur Saliawati Salberi.
Nur Saliawati Salberi


PENIAGA didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh, Melaka hari ini kerana mencuri kasut berjenama, dua tahun lalu.

Majistret Teoh Shu Yee menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh Mohd Firdaus Mohd Shariff, 33, selepas dia mengaku bersalah terhadap tuduhan berkenaan.

Beliau turut menetapkan penjara empat bulan penjara sekiranya gagal menjelaskan denda.

Difahamkan tertuduh tidak membayar denda.

Mengikut pertuduhan, Mohd Firdaus didakwa mencuri lima pasang kasut berjenama milik seorang lelaki yang keseluruhannya berjumlah RM500.

Kesalahan itu dilakukan tertuduh di sebuah rumah pangsa di Taman Merdeka, Batu Berendam, Melaka, pada 2.08 pagi, 12 Oktober 2017.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau dengan denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Puteri Nor Nadia Mohamed Iqbal, yang meminta mahkamah mengenakan hukuman setimpal atas kesalahan dilakukannya.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman lebih ringan ke atasnya mengambil kira dia hanya berniaga kecil-kecilan dan perlu menanggung dua anak serta ibu bapa yang uzur.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 September 2019 @ 5:25 PM