FOTO Hiasan
FOTO Hiasan
Nur Saliawati Salberi


PADAH mengoyakkan surat saman dan memaki anggota polis trafik, seorang pemandu lori sawit didenda RM1,200 oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh, hari ini.

Majistret Muhammad Nazrin Ali Rahim menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh Zolhaisam Masuan, 45, selepas mengaku salah sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa dengan sengaja menghalang tugas anggota trafik dengan cara mengoyakkan saman dan mengeluarkan kata-kata kesat.

Justeru, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menengking dan memaki hamun anggota berkenaan dengan mengeluarkan kata kesat ‘p**** punya polis’.

Oleh itu, dia didakwa mengikut Seksyen 90 Akta Polis 1967 memperuntukkan hukuman denda sehingga RM500 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Semua perbuatan itu dilakukan tertuduh di Pejabat Pertanyaan Trafik Cawangan Melaka Tengah, kira-kira jam 11.30 pagi pada 10 Mei 2017.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Intan Lyiana Zainal Abidin, memohon hukuman setimpal dikenakan kerana tertuduh tidak sepatutnya mengeluarkan kata-kata kesat kepada anggota bertugas.

Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan dikenakan dengan alasan ketika itu dia menunggu majikannya yang mempunyai urusan di hotel berdekatan.

Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, mahkamah memerintahkan tertuduh didenda RM1,000 atau dua bulan penjara bagi pertuduhan pertama dan RM200 atau satu bulan penjara untuk pertuduhan kedua.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 April 2019 @ 2:36 PM