RAMLI menunjukkan perintah dikeluarkan Pejabat Tenaga Kerja pada 2002 dan laporan polis yang dibuatnya. FOTO Mary Victoria Dass
RAMLI menunjukkan perintah dikeluarkan Pejabat Tenaga Kerja pada 2002 dan laporan polis yang dibuatnya. FOTO Mary Victoria Dass
Mary Victoria Dass


“BUKAN setahun dua, tetapi selama 17 tahun kami menunggu bayaran tunggakan gaji. Malah, tiga daripada rakan kami sudah meninggal dunia tanpa menerima pembelaan sewajarnya,” kata Ramli Warith, 52.

Dia antara 60 bekas pekerja sebuah kilang di Bandar Seri Alam di sini, yang masih belum menerima tuntutan gaji berjumlah keseluruhan RM195,631.

Menurutnya, dia mula bekerja di syarikat berkenaan sejak 1988 hingga 2002.

Katanya, mulai 2001, bekas majikan berdepan masalah pembayaran gaji pekerja dan seramai 60 pekerja terjejas mengadu masalah tunggakan gaji kepada Pejabat Tenaga Kerja Johor.

“Pada 20 November 2002, Pejabat Tenaga Kerja memutuskan dan mengeluarkan arahan supaya syarikat itu membayar gaji dan elaun 60 pekerja yang tertunggak berjumlah RM195,631 menerusi arahan Penolong Pengarah Buruh Kanan.

“Malangnya sehingga kini kami tidak menerima bayaran berkenaan menyebabkan kebanyakan daripada kami membuat laporan polis selain mengadu kepada Jabatan Insolvensi Malaysia,” katanya.

Ramli berkata, dia tidak menerima tuntutan gaji sebanyak RM9,000 dan turut membuat laporan polis di Balai Polis Kota Tinggi pada tahun 2007.

Menurutnya, dalam usaha menuntut tunggakan gaji berkenaan, dia berulang-alik ke Pejabat Tenaga Kerja melebihi 10 kali namun tidak menerima maklum balas memuaskan.

“Pejabat Tenaga Kerja menyatakan perintah pembayaran sudah dikeluarkan dan ia menjadi tanggungjawab majikan untuk menyelesaikan masalah itu.

“Kebanyakan daripada kami kurang berpelajaran dan tidak tahu saluran bagi menuntut hak dan pembelaan kerana bekas majikan masih tidak membayar gaji kami,” katanya.

Ramli berkata, tiga daripada rakannya yang bekerja di kilang sama sudah meninggal dunia tanpa menerima tunggakan gaji berkenaan.

“Walaupun mereka sudah tiada, hasil titik peluh mereka seharusnya dibayar kepada keluarga dan saya berharap pihak berkaitan bertindak sewajarnya membantu kami.

“Kami sedar kilang berkenaan masih beroperasi namun sudah diubah nama syarikatnya,” katanya.

Ramli berkata, dia berharap kumpulan bekas pekerja akan menerima pembelaan sewajarnya.

“Ada antara kami yang sudah berusia 70-an dan dimamah usia. Kami tidak pasti sehingga bila berdaya untuk menanti bayaran tunggakan gaji itu,” katanya ketika ditemui.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Julai 2019 @ 4:30 AM