STEVEN Sim, gambar fail. FOTO Bernama
STEVEN Sim, gambar fail. FOTO Bernama
Mohd Iskandar Ibrahim


Putrajaya: Sebanyak 13 kertas siasatan berhubung isu majikan tipu pekerja asing di Pengerang, Johor sudah dilengkapkan Jabatan Tenaga Kerja Negeri Johor.

Menteri Sumber Manusia Steven Sim berkata, kertas siasatan itu membabitkan pelanggaran di bawah Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 [Akta 446].

"Kertas siasatan membabitkan isu ini akan disemak oleh timbalan pendakwa raya esok.

"Selepas itu, tindakan susulan akan diambil apabila semakan itu dibuat," katanya pada sidang media selepas menghadiri mesyuarat Jawatankuasa Bersama Menteri Dalam Negeri dan Menteri Sumber Manusia Mengenai Pengurusan Pekerja Asing di sini, hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said sebelum ini mendedahkan terdapat kira-kira 2,500 pekerja asing yang ditipu majikan berada di Pengerang.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pengerang berkata, Malaysia sudah tidak boleh bertolak ansur dengan pencabulan hak asasi manusia termasuk dalam sektor perniagaan dan sudah tiba masanya untuk mengambil tindakan tegas terhadap perniagaan yang tidak bertanggungjawab.

Dalam pada itu, Steven berkata, sebutan kes membabitkan seramai 751 pekerja warga Bangladesh yang menuntut tunggakan gaji daripada majikan, akan berlangsung di Mahkamah Pengerang pada 5 Februari ini.

Katanya, ia membabitkan kes mengikut Seksyen 69 Akta Kerja.

"Kami dimaklumkan seramai 751 pekerja warga Bangladesh sudah memfailkan kes buruh bagi menuntut tunggakan bayaran gaji keseluruhan berjumlah RM2.21 juta dan saman tuntutan kes buruh sudah diserahkan kepada pengurus syarikat dan tarikh sebutan kes pada 5 Februari ini.

"(Kebiasaannya) kita akan panggil ke Mahkamah Buruh tapi kali ini kita akan laksana sebutan kes itu di Pengerang memandangkan kepada kemampuan pekerja asing itu untuk datang ke Kuala Lumpur," katanya.

Beliau menegaskan, tindakan majikan yang tidak bayar gaji dengan alasan tiada kerja adalah satu kesalahan serius.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 January 2024 @ 9:37 PM