STEVEN Sim menyampaikan ucapan pada Majlis Pelancaran Inisiatif Caruman Percuma Perkeso, hari ini. FOTO Bernama
STEVEN Sim menyampaikan ucapan pada Majlis Pelancaran Inisiatif Caruman Percuma Perkeso, hari ini. FOTO Bernama
Mohd Iskandar Ibrahim


Putrajaya: Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JKTSM) sudah memberikan notis kepada Kedah Agro Holdings Berhad supaya segera menyelesaikan isu tunggakan gaji kakitangannya.

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong, berkata anak syarikat kepada Perbadanan Menteri Besar Kedah itu didapati tidak membayar gaji sejak September tahun lalu.

"Saya sudah mendapat laporan JTKSM mengenai isu dan latar belakang kes ini dan JKTSM sudah memberi notis kepada mereka sejak Januari lalu, ini adalah bercanggah dan melanggar Seksyen 19 Akta Kerja 1955.

"Notis (sudah diberikan JTKSM) kepada majikan terbabit untuk membayar (tunggakan) gaji dan mereka sudah berjanji akan memohon bantuan kerajaan negeri (Kedah)," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Pelancaran Inisiatif Caruman Percuma Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) di sini, hari ini.

Terdahulu, tular di media sosial surat didakwa dikeluarkan oleh Pejabat Setiausaha Kerajaan Kedah berkaitan aduan isu bayaran gaji serta pengoperasian Kedah Agro Holdings Berhad.

Surat terbabit memaklumkan Biro Pengaduan Awam Kedah menerima maklum balas daripada Kedah Agro Holdings Berhad berhubung aduan yang dibuat ke atasnya.

Difahamkan, selain tunggakan gaji, syarikat berkenaan juga gagal menjelaskan tunggakan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Mengulas lanjut, Chee Keong berkata, Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) berpendirian bahawa setiap pekerja berhak ke atas gaji mereka.

Tegasnya, isu membabitkan gaji tidak boleh dikompromi.

"Mereka (Kedah Agro Holdings Berhad) sudah berjanji akan meminta bantuan kerajaan negeri dan difahamkan mereka akan mengadakan satu mesyuarat dengan Menteri Besar (Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor) hari ini.

"Harap mungkin selepas keputusan mesyuarat, kita akan membuat keputusan yang seterusnya kerana saya berharap kerajaan negeri mengambil berat perkara ini sebab ada 24 pekerja syarikat yang tidak dibayar gaji," katanya.

Beliau berkata, Kesuma mahu isu terbabit diselesaikan secara berhemah dan tunggakan gaji kakitangan dapat dijelaskan segera.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Mac 2024 @ 2:42 PM