MOHD Hidayat (kiri) dan Kunasekar (tengah) memohon bayaran pampasan dan tunggakan gaji mereka diselesaikan secepat mungkin oleh pengurusan lama dan baru kilang pemprosesan sarung tangan di Jalan Beruas, Ayer Tawar. FOTO NOOR HIDAYAH TANZIZI.
MOHD Hidayat (kiri) dan Kunasekar (tengah) memohon bayaran pampasan dan tunggakan gaji mereka diselesaikan secepat mungkin oleh pengurusan lama dan baru kilang pemprosesan sarung tangan di Jalan Beruas, Ayer Tawar. FOTO NOOR HIDAYAH TANZIZI.
Noor Hidayah Tanzizi


RAMADAN ini memberi dugaan besar buat bekas pekerja kilang pemprosesan sarung tangan di Jalan Beruas, Ayer Tawar di Beruas, apabila pampasan dan gaji mereka masih belum diterima selepas kilang itu ditutup tanpa sebarang notis.

Mohd Hidayat Samsuri, 35, yang sebelum ini berkerja sebagai Eksekutif Sumber Manusia di kilang terbabit mendakwa pihak pengurusan lama masih belum melunaskan bayaran wang pampasan dan gaji ganti notis.

Menurutnya, pengurusan lama kilang terbabit menutup operasi tanpa notis sehingga menyebabkan hampir 100 pekerja tempatan kehilangan kerja sebelum mereka membuat aduan kepada Jabatan Tenaga Kerja (JTK) di Sitiawan.

Katanya, kilang berkenaan ditutup sepenuhnya pada 26 November lalu dan sudah membayar wang pampasan kepada kumpulan pertama pekerja, namun kumpulan kedua termasuk dirinya masih belum menerima bayaran.

“Baki yang masih belum dibayar seramai 42 pekerja membabitkan jumlah keseluruhan RM300,000, mengikut tempoh perkhidmatan setiap pekerja berkenaan.

“Pengurusan baru mengambil alih kilang berkenaan pada Januari lalu dan beberapa pekerja lama kembali semula berkerja di kilang itu, namun sekali lagi kilang ditutup kerana didakwa kekurangan peruntukan untuk terus beroperasi,” katanya ketika ditemui di Kampung Banjar di Beruas, hari ini.

Mohd Hidayat berkata, kilang berkenaan di bawah pentadbiran pihak pengurusan baru ditutup sejak dua minggu lalu yang membabitkan 30 kakitangan termasuk pekerja warga asing, namun mereka mengeluarkan notis pemberhentian kepada pekerja.

“Gaji bulan pertama sahaja dibayar manakala selebihnya masih belum diterima dan tunggakan gaji saya mencecah hampir RM9,000.

“Saya masih belum dapat kerja baru, malah wang simpanan juga sudah habis digunakan sehingga terpaksa menangguhkan bayaran bil dan kereta.

“Runsing memikirkannya lebih-lebih lagi ketika ini sudah berpuasa dan bakal menyambut hari raya justeru itu, saya mohon kepada pengurusan lama dan baru supaya dapat membayar pampasan dan tunggakan gaji kerana itu hak kami dan kami sangat memerlukannya ,” katanya.

Katanya, mereka ada meminta wang pendahuluan, namun pengurusan baru gagal memenuhinya, malah minta penangguhan pembayaran dan terbaru tempoh itu ditangguhkan sehingga 15 Mei ini.

Seorang lagi pekerja, S Kunasekar, 38, berkata, dia yang sudah 20 tahun berkerja di kilang berkenaan kecewa dengan pihak pengurusan yang dilihat seperti mahu melepaskan tangan.

“Gaji bulan pertama dibayar dan untuk bulan kedua gaji dibayar separuh dan mereka berjanji untuk membayar baki selebihnya pada April ini, namun kini sudah Mei masih belum bayar juga.

“Saya ada tiga anak yang semuanya masih bersekolah dan keadaan ini merisaukan saya, malah kecewa dengan pihak pengurusan kerana saya sudah lama berkerja di sana dan harap masalah ini dapat diselesaikan dengan cepat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Mei 2019 @ 10:57 PM