Sebahagian daripada  bekas pekerja melakukan demonstrasi  aman selepas mereka diberhentikan kerja tanpa mendapat sebarang pampasan.
Sebahagian daripada bekas pekerja melakukan demonstrasi aman selepas mereka diberhentikan kerja tanpa mendapat sebarang pampasan.
Mohamad Azim Fitri Abd Aziz


Kuantan: “Kami bukan orang senang. Apabila diberhentikan secara mengejut begini, apa yang kami nak bagi makan pada keluarga, kami semua ada anak dan isteri. Saya harap mereka bertimbang rasa dengan nasib semua bekas pekerja,” luah Zafran Ahmad, 43, bekas pekerja kilang besi di Pusat Perindustrian Gebeng, di sini.

Dia antara 118 pekerja kilang berkenaan yang diberhentikan secara mengejut dan mendakwa tidak menerima tunggakan gaji serta pampasan sewajarnya.

Beliau mendakwa, selepas mereka diberhentikan secara berperingkat sejak akhir 2016 sehingga 16 Oktober lalu oleh syarikat, mereka tidak menerima sebarang bayaran pampasan kerana diberhentikan secara mengejut.

Katanya, pihak syarikat memberikan alasan untuk mengurangkan operasi berikutan kekurangan permintaan besi di pasaran dunia menyebabkan sebahagian pekerja terpaksa dibuang kerja.

“Kami minta mereka membayar tunggakan gaji kami dan pampasan kerana diberhentikan. Ada dalam kalangan kami yang masih belum mendapat pekerjaan selepas dibuang kerja.

“Selain gaji tertunggak dan pampasan, pihak syarikat juga tidak membayar caruman dengan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) walaupun ada membuat pemotongan berdasarkan keterangan pada penyata gaji,” katanya yang sebelum ini bekerja sebagai penyelia di kilang berkenaan.

Beliau ditemui ketika mewakili lebih 50 bekas pekerja yang mengadakan perhimpunan secara aman menuntut tunggakan gaji dan pampasan mereka dilunaskan di depan kilang berkenaan.

Beliau berkata, selain itu pihaknya membawa perkara berkenaan kepada Jabatan Tenaga Kerja (JTK) yang sepatutnya berlangsung perbincangan antara wakil pekerja dengan pihak syarikat pada 15 November lalu, namun tidak tercapai disebabkan pihak majikan gagal menghantar wakilnya.

Sementara itu, Mohd Khaizal Idris, 42, yang diberhentikan pada akhir 2016 berkata, dia dan rakannya ada membawa masalah itu di Mahkamah Perusahaan yang kemudian memutuskan bekas majikan mereka perlu membayar tunggakan gaji.

“Tetapi sampai sekarang mereka masih belum berbuat demikian, sepatutnya mereka bayar penuh gaji kami, tetapi hanya membayar gaji bagi tempoh 12 hari bekerja saja,” katanya.

Sementara itu, pegawai eksekutif kanan syarikat berkenaan ketika dihubungi berkata, pihaknya hanya akan membuat pembayaran tunggakan gaji dan pampasan selepas proses perbincangan selesai.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Disember 2017 @ 9:36 AM