PENGAWAL keselamatan menyerahkan memorandum kepada wakil Kementerian Sumber Manusia berkaitan tunggakan gaji minimum.
PENGAWAL keselamatan menyerahkan memorandum kepada wakil Kementerian Sumber Manusia berkaitan tunggakan gaji minimum.
Oleh Siti A’isyah Sukaimi


Putrajaya: Bayar gaji kami!. Itu keluhan 33 pengawal keselamatan yang berkhidmat di 10 sekolah di daerah Hulu Langat, Selangor yang menuntut majikan mereka membayar gaji tertunggak selama 21 bulan.

Gaji tertunggak berkenaan didakwa berjumlah kira-kira RM300,000 iaitu bersamaan RM8,400 untuk tempoh 21 bulan bagi setiap pengawal keselamatan terbabit.

Mereka menuntut syarikat kawalan keselamatan yang beroperasi di Kuala Lumpur membayar semua tunggakan gaji minimum didakwa tidak dijelaskan bermula Februari 2013 hingga September tahun lalu.

Wakil pengawal keselamatan, Mohd Zin Yusof berkata, dia bersama rakan sekerja lain mula berkhidmat dengan syarikat kawalan keselamatan berkenaan sejak Februari 2013 dengan pendapatan bulanan sebanyak RM500.

Katanya, syarikat berkenaan bersetuju membayar gaji minimum sebanyak RM900 sebulan, namun ia hanya dilaksanakan pada November tahun lalu dengan bayaran RM1,735 sebulan selepas desakan dibuat beberapa kali.

“Majikan kami gagal membayar tunggakan yang sepatutnya kami terima dan jumlah itu, tidak termasuk tunggakan gaji sejak Oktober tahun lalu sehingga sekarang.

“Pada masa sama, kami juga akan ditamatkan kontrak pada Januari tahun depan dan kami meminta supaya syarikat membayar tunggakan sekali gus kepada pekerja,” katanya ketika ditemui selepas menghantar memorandum kepada Menteri Sumber Manusia Datuk Richard Riot di sini, semalam.

Difahamkan, pengawal keselamatan terbabit turut bertemu dengan pegawai serta wakil Jabatan Tenaga Kerja (JTK) bagi menyerahkan memorandum berkenaan.

Selain itu, Mohd Zin berkata, sekiranya syarikat berkenaan gagal membayar gaji tunggakan itu, mereka tidak teragak-agak mengambil tindakan saman.

Dalam pada itu, dia mendakwa, pihaknya sudah enam kali mengadakan pertemuan dengan JTK dan sehingga kini, sebarang tindakan tidak diambil terhadap syarikat berkenaan.

“Sepanjang bekerja, gaji kami dipotong majikan untuk caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) namun selepas diperiksa mereka tidak membayarnya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Disember 2015 @ 6:06 AM