Mohd Fahmi Mohd Yusof

SULTAN Johor, Sultan Ibrahim Iskandar, mengingatkan semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) supaya menjaga adab dan tatatertib ketika berbahas selain tidak mahu Dewan Undangan Negeri (DUN) dijadikan seperti ‘sarkas’.

Baginda bertitah, setiap ADUN juga hendaklah bersikap terbuka dan mendengar pendapat orang lain, bukannya terus menolak segala cadangan yang tidak selari dengan kehendak politik atau kepentingan diri sendiri.

“Suka juga saya ingatkan kepada semua Ahli Dewan supaya menjaga adab dan tatatertib ketika berada dan berbahas di dalam dewan ini. Saya tidak mahu dewan ini dijadikan seperti ‘sarkas’.

“Saya harap Speaker DUN akan menjalankan tugasnya dengan cekap dan tegas bagi memastikan perbahasan dibuat dengan berhemah dan teratur.

“Sekiranya ada Ahli Dewan yang bertindak melampaui batas dan melanggar peraturan ditetapkan, maka arahkan mereka supaya keluar dari dewan ini,” titah baginda.

Sultan Ibrahim bertitah ketika merasmikan pembukaan Penggal Persidangan Pertama DUN Johor yang ke-14 di Bangunan Sultan Ibrahim, Bukit Timbalan di Johor Bahru, hari ini.

Sultan Ibrahim Iskandar, mencemar duli memeriksa barisan kawalan kehormat sebelum memasuki ke dalam dewan.
Sultan Ibrahim Iskandar, mencemar duli memeriksa barisan kawalan kehormat sebelum memasuki ke dalam dewan.

Turut berangkat, Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Sultan Ibrahim dan Tunku Panglima Johor, Tunku Abdul Rahman Sultan Ibrahim.

Baginda turut mengingatkan kerajaan untuk mengawal perbelanjaan supaya tidak melebihi hasil pendapatan dan berusaha mencapai lebihan hasil atau ‘surplus’.

“Perkara utama yang suka saya tekankan adalah pengurusan kewangan kerajaan yang cekap dan berhemah, suka saya ingatkan supaya kerajaan mengawal perbelanjaan supaya tidak melebihi hasil pendapatan.

“Kerajaan negeri juga perlu berusaha mendapatkan peruntukan kewangan daripada Kerajaan Persekutuan bagi mengurangkan beban kewangan negeri.

“Kerajaan juga hendaklah mengekalkan prestasi kemajuan ekonomi negeri yang tinggi dengan menggalakkan pelaburan berterusan dari dalam dan luar negara,” titah Sultan Ibrahim.

Sultan Ibrahim turut mengingatkan semua kakitangan dan jentera pentadbiran kerajaan supaya sentiasa menjaga imej yang baik dan memberikan perkhidmatan cemerlang dengan penuh dedikasi serta integriti.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Ogos 2018 @ 11:56 AM