Mary Victoria Dass


SULTAN Johor, Sultan Ibrahim Iskandar, hari ini menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Sultan Abu Bakar di sini, bersama lebih 1,000 umat Islam.

Sultan Ibrahim dan jemaah julung kali menyempurnakan solat sunat Aidilfitri di Masjid Sultan Abu Bakar selepas hampir dua tahun ia ditutup berikutan kerja baik pulih yang dijalankan di masjid berkenaan.

Baginda tiba pada 8.30 pagi diiringi Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim serta anakandanya yang lain.

Hadir menyambut ketibaan baginda, Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal, barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) dan pegawai kanan kerajaan negeri.

Baginda kemudian meluangkan masa bersalaman dengan jemaah sebelum berangkat pulang pada 9 pagi.

Masjid yang dibina antara 1892 hingga 1900 itu mampu memuatkan sehingga 2,000 jemaah dalam satu masa dan menjadi lokasi unik, selain tempat bersejarah untuk dilawati di Johor.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Jun 2019 @ 11:20 AM
SULTAN Ibrahim diiringi Tunku Ismail yang berkenan berangkat menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Sultan Abu Bakar. FOTO Mohd Azren Jamaludin
SULTAN Ibrahim diiringi Tunku Ismail yang berkenan berangkat menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Sultan Abu Bakar. FOTO Mohd Azren Jamaludin