Siti Nor Hidayatidayu Razali


“INI cabaran ketika kita memimpin atas nama Islam, tempat (negeri) kuat Islam, maka syaitan pun besar. Kalau negeri yang tidak kuat (Islam) memang tidak dibangkitkan perkara ini,” kata Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob.

Beliau mengulas mengenai perbuatan remaja perempuan memijak kitab menyerupai al-Quran yang video mengenainya tular di media sosial sejak kelmarin.

Ahmad menyifatkan insiden itu sebahagian cabaran dan ujian besar Allah SWT kepada kerajaan Kelantan.

Katanya, walaupun itu kes terpencil, ia tidak sepatutnya berlaku di negeri berkenaan dan kerajaan negeri berusaha untuk melahirkan anak muda yang bermaruah dan berakhlak.

“Apabila kita berusaha kuat untuk melahirkan orang-orang yang baik dan berakhlak, maka kita berdepan cabaran seperti ini.

“Pelbagai program yang dianjurkan menerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan serta badan bukan kerajaan (NGO) untuk anak muda di negeri ini, tetapi tidak semua orang dapat kita didik dan asuh,” katanya ketika ditemui.

Mengulas lanjut, beliau berharap keluarga remaja yang terbabit mengambil tanggungjawab serius dan mendidik anak mereka kembali ke pangkal jalan.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kelantan Said Sidup berkata, remaja perempuan yang didakwa memijak kitab suci itu dilapor berhenti sekolah sejak setahun lalu.

“Remaja itu hanya bersekolah setakat tingkatan empat dan semakan kita mendapati dia tidak didaftarkan di bawah JKM.

“Manakala, seorang rakannya berdaftar sebagai orang kurang upaya (OKU) masalah pembelajaran, manakala dua lagi remaja adalah normal,” katanya ketika dihubungi.

Dalam laporan Harian Metro hari ini, remaja perempuan melakukan perbuatan itu mendakwa tindakannya kerana menurut arahan rakan yang mengugut akan memanggil lelaki itu berbuat sesuatu kepadanya.

Dia juga mendakwa tindakan itu sebagai sumpah untuk tidak melakukan hubungan seks dengan lelaki dan ia dilakukan pada 2.30 petang, 13 Julai lalu dekat Jambatan Kusial Lama, Tanah Merah.

Berita berkaitan

Biadab sungguh...

Gadis biadab kena tahan

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Julai 2019 @ 3:39 PM