BANGUNAN Parlimen. FOTO Salhani Ibrahim
BANGUNAN Parlimen. FOTO Salhani Ibrahim
Fairul Asmaini Mohd Pilus


DEWAN Rakyat, hari ini, meluluskan usul tambahan 13 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.

Senarai 13 kerusi tambahan yang dicadangkan ialah Bengkoka, Mangaris, Pintasan, Pantai Dalit, Darau, Tanjung Dumpil, Dambai, Tulid, Telupid, Sungai Manila, Lamag, Segama dan Kukusan.

Keputusan itu diumumkan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof selepas undi dilakukan yang menyaksikan 158 ahli parlimen termasuk pihak pembangkang bersetuju dengan usul berkenaan.

“Tiada ahli yang tidak bersetuju, jadi oleh kerana tidak kurang daripada setengah daripada bilangan ahli majlis mengundi bersetuju dengan usul Perdana Menteri, maka usul ini disetujukan,” katanya.

Usul Laporan Kajian Semula Persempadanan Mengenai Syor-Syor Yang Dicadangkan Bagi Bahagian-Bahagian Pilihan Raya Persekutuan dan Negeri Sabah itu dibentangkan di Dewan Rakyat oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada sesi pagi selepas selesai sesi jawab lisan.

Ia kemudiannya dibahaskan oleh ahli parlimen termasuk wakil pihak pembangkang sebelum digulung Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong pada sesi petang.

DUN Sabah sebelum ini meluluskan pindaan Undang-Undang ke atas Fasal (2) Perkara 14, Perlembagaan Negeri Sabah berhubung komposisi keanggotaan DUN daripada 60 kerusi kepada 73 kerusi yang berkuat kuasa pada 18 Ogos 2016.

Sehubungan itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu melakukan kajian persempadanan semula, selaras peruntukan Fasal (3A) Perkara 113, Perlembagaan Persekutuan.

SPR menyiapkan dan menyerahkan Laporan Kajian Semula Persempadanan kepada bekas Perdana Menteri pada 21 Februari 2017, namun tidak diusulkan untuk dibentangkan pada sidang Parlimen ke-13 lalu.

SPR menyerahkan semula laporan itu kepada Dr Mahathir dan diagihkan kepada semua ahli Parlimen pada 26 Jun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Julai 2019 @ 8:10 PM