Wan Junaidi ketika menghadiri Persidangan Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen hari ini. FOTO BERNAMA
Wan Junaidi ketika menghadiri Persidangan Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen hari ini. FOTO BERNAMA
Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Kerajaan tidak akan melaksanakan kajian untuk menambah kawasan pilihan raya atau persempadanan semula susulan pertambahan pemilih pada suku ketiga 2021 berikutan ia adalah tanggungjawab Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, bidang kuasa untuk berbuat demikian tertakluk kepada SPR dan kerajaan tiada hak untuk mengganggu tanggungjawab SPR kerana badan itu bebas untuk membuat saranan.

"Kajian bukannya hanya untuk menambah jumlah (kawasan pilihan raya), tetapi ada jumlah boleh dikurangkan atas (syor) SPR.

"Kerajaan tidak berhak ganggu tanggungjawab SPR. SPR adalah bebas untuk membuat keputusannya sendiri untuk disarankan kepada kerajaan," katanya menjawab soalan Cha Kee Chin (PH-Rasah) di Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Wan Junaidi berkata, Urusan Kajian Semula Persempadanan adalah satu kajian semula pembahagian sempadan Bahagian Pilihan Raya sedia ada, bagi mengesyorkan apa-apa perubahan dengannya yang difikirkan perlu berdasarkan Fasal (2) Perkara 113 Perlembagaan Persekutuan.

"Perkara 113 Perlembagaan Persekutuan memberi kuasa kepada SPR untuk melaksanakan kajian semula sempadan setiap Bahagian Pilihan Raya di negara ini yang terbahagi kepada tiga unit berasingan mengikut undang-undang Fasal (6) Perkara 113 Perlembagaan Persekutuan iaitu Unit Negeri-Negeri Tanah Melayu (termasuk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya), Unit Negeri Sabah dan Unit Negeri Sarawak.

"Urusan Kajian Semula Persempadanan bermula mengikut keadaan seperti yang berikut tamat tempoh tidak kurang lat lapan tahun daripada tarikh siapnya urusan Kajian Semula Persempadanan sebelumnya," katanya.

Menurutnya, jika ia berkaitan dengan peruntukan Fasal (2) Perkara 113 Perlembagaan Persekutuan, SPR boleh memulakan urusan Kajian Persempadanan Semula selepas tamat tempoh tidak kurang lat lapan tahun daripada tarikh siapnya urusan kajian semula sebelumnya.

"Namun sekiranya SPR memulakan urusan berkenaan, ianya perlu diselesaikan dalam tempoh dua tahun. Bagi maksud ini, lat tempoh lapan tahun bagi kajian semula persempadanan," katanya.

Menurutnya, Sarawak akan berakhir pada 2023, Sabah pada 2025 manakala Negeri Tanah Melayu pula pada 2026," katanya.

Katanya, apabila perlembagaan persekutuan dipinda, sama ada penambahan atau pengurangan kerusi dewan atau pewujudan wilayah baharu, SPR hendaklah melaksanakan urusan Kajian Persempadanan Semula dalam tempoh dua tahun dari tarikh pindaan undang-undang itu berkuat kuasa.

"Secara dasarnya, setiap pemilih akan mengundi berdasarkan Bahagian Pilihan Raya yang ditetapkan kepada mereka.

"Namun begitu, jumlah pemilih dalam sesuatu bahagian yang lebih kurang sama banyak turut mengambil kira faktor seperti kesulitan, kesukaran perhubungan, pengangkutan, keluasan kawasan, demografi serta bentuk geografi.

Setiap bahagian adalah unik dan berbeza dari segi demografi, keluasan kawasan dan bentuk geografi," katanya.

Katanya, setiap satu bahagian tidak boleh disamakan atau dibandingkan dengan bahagian yang lain.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Oktober 2021 @ 1:03 PM