Veena Rusli


LAPORAN kajian semula persempadanan bahagian pilihan raya Negeri-Negeri Tanah Melayu 2018 yang diluluskan di Dewan Rakyat semalam, diwartakan, hari ini.

Perintah yang dikenali sebagai Perintah Perlembagaan Persekutuan (Persempadanan Bahagian-Bahagian Pilihan Raya) (Negeri-Negeri Tanah Melayu) 2018 itu mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V.

“Perintah ini bolehlah dinamakan Perintah Perlembagaan Persekutuan (Persempadanan Bahagian-Bahagian Pilihan Raya) (Negeri-Negeri Tanah Melayu) 2018.

“Perintah ini mula berkuat kuasa pada 29 Mac 2018,” kata Warta Kerajaan Persekutuan yang dimuat naik di portal rasmi Pejabat Peguam Negara, hari ini.

Warta Kerajaan Persekutuan itu ditandatangani oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa.

Ia turut menyatakan, syor-syor yang terkandung dalam laporan Suruhanjaya Pilihan Raya bertarikh 6 Mac 2018 hendaklah berkuat kuasa dari tarikh Perintah itu mula berkuat kuasa.

Semalam, Dewan Rakyat meluluskan usul kajian semula persempadanan kawasan pilihan raya bagi Semenanjung Malaysia yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Ia diluluskan menerusi undi belah bahagi selepas dibahaskan 14 Ahli Parlimen membabitkan tujuh dari pihak kerajaan dan tujuh dari pembangkang.

Usul berkenaan disokong dan digulung oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia, ketika mengumumkan keputusan itu berkata, 129 Ahli Parlimen bersetuju dengan usul terbabit manakala 80 orang menentang.

Tiada pertambahan kerusi bagi kawasan parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) menerusi persempadanan itu, sekali gus menjadikan jumlah kerusi Parlimen kekal 222 dan 587 kerusi bagi DUN.

Berita berkaitan:

Usul persempadanan semula lulus

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Mac 2018 @ 8:32 PM