FOTO Hiasan
FOTO Hiasan
Shaarani Ismail


INSIDEN tiga penyelam termasuk dua pelancong warga China yang maut akibat terkena bom ikan sebagaimana dilaporkan di perairan Semporna dekat Sabah semalam adalah kes terpencil, kata Timbalan Menteri Pelancongan Seni dan Budaya, Muhammad Bakhtiar Wan Chik.

Justeru itu katanya, orang ramai khususnya pelancong tidak perlu khuatir dengan keselamatan mereka kerana pihak berkuasa akan terus memastikan tahap keselamatan mereka menjadi keutamaan.

Muhammad Bakhtiar berkata, kes berkenaan terpencil kerana tidak kerap dilaporkan berlaku.

Beliau berkata, agensi penguatkuasaan pastinya sudah mengambil langkah tertentu bagi meningkatkan keselamatan bagi memastikan insiden sama tidak berulang.

“Saya kira kes ini telah pun berada dalam pengetahuan pihak berkuasa jadi biarlah penguatkuasaan dilakukan.

“Pelancong tidak perlu bimbang kerana bukan semua kawasan di sana mempunyai bom ikan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Seminar Peluang Perniagaan Pelancongan Perak di Ipoh, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kemungkinan insiden itu akan memberikan kesan terhadap industri pelancongan Sabah berikutan ketika kejadian, ketiga-tiga mangsa sedang menjalankan aktiviti menyelam.

Muhammad Bakhtiar berkata, pihaknya yakin agensi terbabit seperti Jabatan Laut Malaysia dan Agensi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) akan mengambil tindakan sewajarnya dalam menangani insiden itu.

Harian Metro semalam melaporkan, tiga penyelam termasuk dua pelancong warga China maut dipercayai akibat terkena bom ikan, ketika menjalankan aktiviti menyelam di perairan daerah Semporna, petang semalam.

Siasatan awal polis mendapati, kejadian difahamkan berlaku sekitar 4 hingga 5 petang sebelum pihak berkuasa dimaklumkan mengenainya.

Berita berkaitan

3 penyelam maut akibat bom ikan?

[UPDATE] Tak dengar bunyi bom, tapi...

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Julai 2019 @ 1:31 PM