MENTERI Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi. FOTO AHMAD IRHAM MOHD NOOR
MENTERI Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi. FOTO AHMAD IRHAM MOHD NOOR
BERNAMA

KEMENTERIAN Pelancongan, Seni dan Budaya mengutuk sekeras-kerasnya perbuatan nelayan tempatan melakukan aktiviti pengeboman ikan sehingga mengakibatkan dua pelancong warga China dan seorang jurulatih selaman tempatan terbunuh di perairan Semporna, semalam.

Menterinya, Datuk Mohamaddin Ketapi berkata, beliau mahu pihak bersalah dikenakan hukuman setimpal dan aktiviti tersebut dihentikan segera sebelum banyak lagi nyawa terkorban.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah dilaporkan mengesahkan kejadian itu.

Media tempatan melaporkan kejadian didakwa berlaku antara jam 4 petang hingga 6 petang apabila ketiga-tiga mangsa menjalankan aktiviti selaman di perairan Semporna sebelum terkena bom ikan yang dibaling nelayan tempatan berhampiran lokasi mangsa menyelam.

Menurut laporan itu, pengendali bot yang membawa mangsa ke lokasi menyelam berhampiran Pulau Bim-Bum itu telah membuat laporan polis.

Mohamaddin berkata perbuatan dan aktiviti seumpama itu tidak hanya membahayakan pelancong, malah akan turut mengganggu ekosistem di perairan itu.

“Saya mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa dan sedang menunggu laporan penuh polis berhubung kejadian terbabit,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, aktiviti bom ikan tersebut bukanlah perkara baharu kerana pihak berkuasa tempatan (PBT) ada memaklumkan kejadian seumpama itu sebelum ini.

“Apa yang lebih penting buat masa ini adalah memastikan keselamatan perjalanan dan aktiviti pelancong yang sedang bercuti di kawasan terbabit sentiasa terjamin,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Julai 2019 @ 2:00 AM