ABDUN (gambar kecil) antara waris hadir di Hospital Tawau untuk menuntut jenazah tiga penyelam yang maut, Jumaat lalu. FOTO Abdul Rahemang Taiming.
ABDUN (gambar kecil) antara waris hadir di Hospital Tawau untuk menuntut jenazah tiga penyelam yang maut, Jumaat lalu. FOTO Abdul Rahemang Taiming.
Abdul Rahemang Taiming


SUASANA pilu menyelubungi pekarangan Unit Forensik Hospital Tawau, hari ini apabila waris mangsa termasuk dua pelancong China yang meninggal dunia terkena bom ikan dekat perairan Pulau Kulapuan, Semporna, hadir menuntut jenazah.

Abdun Jamarun, 50, bapa kepada penyelam, Zainal, 31, yang meninggal dunia dalam tragedi Jumaat lalu, hadir bersama empat cucu dan ahli keluarganya.

Manakala, beberapa individu dipercayai waris kepada dua pelancong China.

Abdun berkata, mereka sekeluarga reda dengan takdir menimpa anak lelakinya itu walaupun ia satu kehilangan besar kepada mereka.

“Hari ini kami datang untuk menuntut jenazah arwah untuk dibawa pulang ke Semporna. Jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Halo.

“Apapun keputusan laporan bedah siasat yang akan diumumkan nanti, saya serahkan kepada pihak berwajib untuk tindakan selanjutnya,” katanya ketika ditemui.

Sementara itu, Zhao Bao Hua, 50-an, bapa kepada penyelam China, Zhao Zheng tiba dari Beijing bersama isterinya, untuk membuat pengecaman.

“Selepas bedah siasat selesai, mayat akan dihantar ke sebuah tokong di Tawau untuk proses pembakaran sebelum abu dibawa ke Semporna dan dihanyutkan di kawasan mayat mula-mula ditemui,” katanya.

Dalam kejadian Jumaat lalu, Zainal bersama Zhao Zheng dan Xu Yingjie meninggal dunia ketika melakukan aktiviti menyelam.

Polis Sabah setakat ini sudah menahan dua individu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Berita berkaitan

3 penyelam maut akibat bom ikan?

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Julai 2019 @ 2:24 PM