ANTARA komponen motosikal yang dirampas susulan penahanan lelaki terbabit kes curi motosikal di Hulu Kelang. FOTO Ihsan PDRM
ANTARA komponen motosikal yang dirampas susulan penahanan lelaki terbabit kes curi motosikal di Hulu Kelang. FOTO Ihsan PDRM
Muhaamad Hafis Nawawi


Ampang Jaya: Sasar motosikal jenis Honda EX5 di parkir di tepi jalan sebelum mencurinya.

Itu taktik dilakukan seorang lelaki yang terbabit dalam kegiatan mencuri motosikal di daerah ini, sebelum ditangkap pada 21 Mac lalu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, tangkapan itu susulan laporan polis diterima daripada seorang peniaga lelaki berusia 60 tahun pada 17 Mac lalu.

Katanya, berdasarkan laporan, peniaga itu mendakwa motosikal Honda EX5 warna hitam yang diletak di Jalan Taman Keramat Permai, Hulu Kelang dalam keadaan berkunci didapati hilang.

Menurutnya, susulan itu, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Ampang Jaya menahan dua lelaki berusia 38 tahun dan 42 tahun, pada 7.30 malam, 21 Mac lalu.

Kedua-dua suspek yang bekerja sebagai pemandu lori serta penghantar surat ditahan di Jalan Gombak Setia kerana disyaki terbabit dengan kes berkenaan.

"Polis merampas pelbagai jenis peralatan, komponen motosikal, tiga enjin motosikal yang diganggu, dua rangka motosikal yang diganggu, satu motosikal dan pakaian yang digunakan semasa kejadian bagi membantu siasatan.

"Hasil ujian air kencing terhadap kedua suspek dapati negatif dadah.

"Semakan dapati suspek pertama mempunyai tujuh rekod lampau jenayah dan suspek kedua tiada rekod lampau," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, siasatan awal pihak polis dapati modus operandi suspek menyasarkan motosikal jenis Honda EX5 yang di parkir di tepi jalan.

"Suspek pertama dituduh di Mahkamah Majistret Ampang semalam mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan manakala suspek kedua dibebaskan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Mac 2024 @ 5:10 PM