PARANG dan topeng muka yang ditemui pada seorang lelaki menaiki motosikal di Jalan AU 3/1, Taman Keramat, Ampang, awal pagi tadi. FOTO ihsan Polis
PARANG dan topeng muka yang ditemui pada seorang lelaki menaiki motosikal di Jalan AU 3/1, Taman Keramat, Ampang, awal pagi tadi. FOTO ihsan Polis
Nurul Hidayah Bahaudin


TINDAKAN seorang peniaga barang runcit keluar rumah dengan membawa parang mengundang padah apabila ditahan polis di Jalan AU 3/1, Taman Keramat, di sini, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Noor Azmi Yusoff berkata, lelaki berusia 61 tahun berkenaan ketika sepasukan anggota sedang melakukan rondaan di lokasi terbabit jam 1.30 pagi.

“Ketika anggota bertugas melakukan rondaan di lokasi terbabit, mereka menemui lelaki berkenaan yang menaiki motosikal Yamaha Nouvo LC.

“Lelaki itu kemudian ditahan kerana ingkar arahan PKP sebelum pemeriksaan dilakukan menemui parang berukuran 57 sentimeter dan topeng muka yang dibawa suspek,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Noor Azmi berkata, suspek memberi alasan dalam perjalanan pulang ke rumah selepas selesai membaiki kedai runcitnya.

“Siasatan lanjut berhubung kes ini masih diteruskan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 6 (1) Akta Bahan Kakisan Letupan dan Senjata Bahaya 1958 kerana membawa senjata.

“Selain itu, suspek juga ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 22 (b) Akta Pencegahan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) kerana melanggar peraturan PKP,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 April 2020 @ 8:39 PM