JARI tangan kanan Sasinevthan hampir putus dilibas dengan parang. FOTO Ihsan S Vhivindren
JARI tangan kanan Sasinevthan hampir putus dilibas dengan parang. FOTO Ihsan S Vhivindren
Muhaamad Hafis Nawawi


ORANG lain berhutang, orang lain dijadikan mangsa. Itu nasib seorang penuntut kolej apabila dilibas dengan parang menyebabkan jari tangan kanannya hampir putus selepas diserang enam lelaki, Rabu lalu.

Mangsa, S Sasinevthan, 21, diserang kumpulan lelaki itu ketika sedang berbual bersama rakannya di hadapan rumah di Taman Tasik Permai, di Ampang, pada 8.30 malam.

Selain parah pada jari tangan, mangsa turut cedera pada leher serta kepala akibat dibelasah kumpulan lelaki berkenaan.

Abang mangsa, S Vhivindren, 24, berkata, kumpulan lelaki itu menemui Sasinevthan kerana mencari rakan adiknya itu selepas mendakwa lelaki berkenaan berhutang dengan mereka dan masih belum membayarnya.

Katanya, adiknya ketika itu memberitahu dia tidak tahu di mana rakannya berada menyebabkan mereka tidak berpuas hati dan terus menyerangnya.

“Saya juga cuba meminta mereka menghentikan perbuatan itu, namun diugut akan dicederakan.

“Mujur jiran yang menyaksikan kekecohan itu menghubungi polis menyebabkan kumpulan lelaki terbabit melarikan diri,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Vhivindren berkata, adiknya yang cedera kemudian dihantar ke Hospital Ampang sebelum dibenarkan pulang ke rumah hari ini.

“Doktor memasukkan besi di jari kanan adik saya yang cedera akibat dilibas dengan parang,” katanya.

Vhivindren sudah membuat laporan di Balai Polis Ampang pada hari kejadian untuk tindakan selanjutnya.

Sementara itu, jurucakap polis mengesahkan kejadian itu dan salah seorang suspek sudah ditahan bagi membantu siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 January 2020 @ 4:56 PM