GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Muhaamad Hafis Nawawi


Ampang Jaya: Hanya kerana tidak berpuas hati selepas mendakwa motosikal ditunggangnya dihimpit sebuah kereta menyebabkan seorang penghantar makanan mengugut pemandu kereta terbabit dan merosakkan kenderaannya di Jalan Ukay Perdana di sini.

Dalam kejadian 6.40 petang Rabu lalu, mangsa yang berusia 28 tahun sedang memandu kereta sebelum dihampiri penunggang motosikal dengan menunjukkan isyarat lucah.

Penunggang terbabit turut bertindak merosakkan kenderaan mangsa, malah berlaku pertengkaran antara mereka ketika berhenti di tepi jalan di mana mangsa mengalami kecederaan selepas tersepit di pintu kereta ketika ingin keluar apabila lelaki itu menolaknya.

Mangsa yang cedera kemudiannya tampil membuat laporan di Balai Polis Ampang untuk tindakan selanjutnya.

Sementara itu, Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata, bertindak atas maklumat, sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya menahan suspek berusia 28 tahun di Taman Keramat di sini, Khamis lalu.

Menurutnya, semakan rekod jenayah lampau mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah.

"Ujian saringan awal air kencing juga didapati negatif dadah.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan serta Seksyen 427 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Jun 2023 @ 2:32 PM