GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Garret Dawum


WANITA ditemui mati di sebuah pusat hiburan di Jalan Ban Hock di Kuching, jam 2.40 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Awang Din Awang Gani berkata, mayat wanita tempatan itu yang berusia 20-an ditemui pekerja premis terbabit.

“Pekerja itu kemudian menghubungi polis untuk tindakan lanjut. Polis yang datang membuat pemeriksaan ke lokasi mendapati wanita itu terbaring di atas sofa dan tidak sedarkan diri.

“Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan dari Hospital Umum Sarawak (HUS),” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, siasatan awal mendapati tiada unsur jenayah terbabit dalam kematian wanita itu.

“Mayat mangsa sudah dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik HUS untuk bedah siasat.

“Setakat ini, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut sementara menunggu keputusan bedah siasat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Julai 2019 @ 1:49 PM