GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Mohd Roji Kawi


MAYAT hampir reput yang ditemui di bilik air sebuah rumah di Jalan Song, Kuching, kelmarin, dihantar ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk menjalani ujian saringan Covid-19.

Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Awang Din Awang Gani berkata, mayat lelaki berusia 51 tahun itu ditemui polis selepas menerima panggilan daripada pemilik rumah berkenaan yang curiga apabila gagal menghubungi mangsa.

Beliau berkata, sebelum itu pemilik rumah terbabit melihat anjing peliharaan mangsa mati di perkarangan rumah itu.

"Sebaik menerima panggilan pada jam 9.05 pagi, Khamis lalu, polis bergegas ke lokasi dan setibanya di rumah itu, anggota polis terhidu bau busuk dari tingkat atas rumah.

"Polis kemudiannya bersama-sama dengan pegawai perubatan dan pihak bomba masuk ke rumah dan naik ke tingkat atas dan menemui mayat seorang lelaki di bilik air rumah," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Awang Din berkata, pihaknya masih menunggu ujian saringan selain keputusan bedah siasat untuk mengenalpasti punca kematian mangsa.

Selain itu, bangkai anjing yang ditemui di perkarangan rumah pula dihantar Makmal Jabatan Perkhidmatan Veterinar di Muara Tuang.

Mengulas lanjut, Awang Din berkata, berdasarkan keterangan pemilik rumah itu, mangsa bekerja sebagai pembekal sayur-sayuran untuk pasar raya sekitar Kuching dan menyewa rumah itu sejak 12 tahun lalu.

"Siasatan awal polis tidak menemui unsur jenayah dalam kejadian ini. Barangan milik mangsa seperti dompet, wang tunai dan telefon bimbit didapati masih ada di tempat kejadian.

"Polis juga menemui beberapa bungkusan ubat milik mangsa di tempat kejadian dan kes yang masih dalam siasatan itu itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Mei 2020 @ 2:06 PM