Mangsa meninggal dunia selepas dua jam dirawat di hospital. FOTO Ihsan Pembaca
Mangsa meninggal dunia selepas dua jam dirawat di hospital. FOTO Ihsan Pembaca
Garret Dawum


LELAKI meninggal dunia selepas dua jam tidak sedarkan diri di Hospital Umum Sarawak (HUS) di Kuching hari ini.

Lelaki itu yang belum dikenal pasti identitinya ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri oleh orang awam di kawasan komersial Metrocity Matang pada 11 malam tadi.

Dia yang dipercayai terjatuh dari bangunan berhampiran menerima rawatan kecemasan daripada paramedik HUS yang dikejarkan ke lokasi.

Menurut sumber, selepas rawatan kecemasan diberikan, mangsa dikejarkan ke HUS untuk rawatan lanjut.

“Dua jam kemudian, dia disahkan meninggal dunia dan mayat mangsa dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik HUS,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuching Asisten Komisioner Awang Din Awang Gani ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan menyatakan siasatan lanjut masih dijalankan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kejadian itu boleh menyalurkannya kepada polis atau hubungi balai polis berhampiran,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Julai 2019 @ 8:27 PM