SERPIHAN kulit telur berdekatan dengan kereta ahli Parlimen berkenaan. FOTO Ihsan PDRM
SERPIHAN kulit telur berdekatan dengan kereta ahli Parlimen berkenaan. FOTO Ihsan PDRM
Mohd Azam Shah Yaacob


KENDERAAN pelbagai guna (MPV) Toyota Vellfire milik Ahli Parlimen Batu, P Prabakaran dibaling telur di parkir di sebuah restoran di Jalan Ipoh, malam tadi.

Prabakaran berkata, kejadian disedari 12.45 tengah malam, sebaik dia ingin pulang selepas selesai mengadakan pertemuan dengan tiga lagi kenalannya di restoran itu.

“Saya sudah berada di restoran itu sejak 10.30 malam dan meminta pemandu pulang ke rumah serta meletak kereta di parkir di luar restoran.

“Saya keluar dari restoran jam 12.40 malam dan sebaik pergi ke kereta untuk pulang ke rumah, saya dapati terdapat banyak serpihan kulit telur bertaburan di kawasan belakang kereta,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau kemudian mendapati telur berkenaan dibaling mengenai cermin belakang MPV miliknya termasuk pada bahagian atas bumbung hingga ke bahagian cermin hadapan.

Katanya, susulan itu dia terus ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul bagi membuat laporan pada 1.30 pagi.

“Tujuan laporan dibuat berikutan risau keselamatan saya serta ahli keluarga yang lain.

“Buat masa ini saya tidak mengesyaki ia angkara siapa atau ia membabitkan hal politik berikutan kawasan parkir itu tiada kamera litar tertutup (CCTV),” katanya.

Prabakaran berkata, dia menyerahkan perkara itu sepenuhnya kepada polis untuk menjalankan siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 November 2019 @ 2:25 PM