AHLI Parlimen Batu, P Prabakaran. FOTO Aziah Azmee
AHLI Parlimen Batu, P Prabakaran. FOTO Aziah Azmee
Yusmizal Dolah Aling


TIDAK mahu berkhidmat separuh jalan. Itu ketegasan Ahli Parlimen Batu, P Prabakaran ketika ada pihak mendesak beliau melepaskan jawatan untuk memberi laluan kepada Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tian Chua.

Dalam satu kenyataan kepada media hari ini, wakil rakyat berusia 23 tahun itu berkata, beliau mengambil positif desakan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu dan ia tidak menjejaskan tugas seharian sebagai ahli parlimen.

Katanya, sebagai bekas ahli parlimen, Tian Chua tidak pernah mendesaknya mengenai tugasan atau melepaskan jawatan selepas pilihan raya atau selepas keputusan mahkamah memihak kepadanya.

“Mengenai NGO yang kononnya mendesak saya untuk berundur, ada pernah saya bantu secara langsung. Ada pula aduan bahawa itu kenyataan individu dan bukan daripada NGO terbabit.

“Saya berinteraksi dengan pengundi saya setiap hari, mereka memang inginkan seorang pemuda yang bersemangat untuk membantu menyelesaikan masalah mereka lalui selama ini.

“Banyak program dan aktiviti saya jalankan di kawasan Batu. Saya sedang menyelesaikan masalah mereka secara beransur-ansur dan dapat menyelesaikan beberapa masalah rumit dihadapi pengundi saya dalam tempoh singkat.

“Saya tekad untuk memberi penyelesaian terbaik dalam beberapa isu sedang tumpukan sekarang,” katanya dalam kenyataan itu.

Prabakaran berkata, sebagai Ahli Parlimen PKR, dia ingin menyumbangkan tenaga dan usaha untuk kebaikan parti serta merealisasikan agenda reformasi parti.

Menurutnya, beliau akan berkhidmat untuk rakyat secara telus dan adil tanpa melepaskan mereka di pertengahan jalan.

Media semalam melaporkan 14 NGO mencadangkan supaya Prabakaran mengosongkan kerusi itu bagi memberi laluan kepada Tian Chua bertanding semula di kawasan berkenaan.

Ia susulan keputusan Mahkamah Tinggi pada 6 November lalu, yang membuat ketetapan pelucutan hak pencalonan Tian Chua sebagai calon pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) adalah tidak sah, sekali gus layak bertanding dalam pilihan raya.

Pada PRU-14, Prabakaran pada awalnya bertanding atas tiket Bebas sebelum menyertai PKR, menang dengan majoriti 24,438 undi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 November 2019 @ 8:12 PM