ASAM pedas ikan jenahak antara menu istimewa yang terdapat di Asam Pedas Pak Man dekat Bukit Katil. Pak Man (gambar kecil) memulakan perniagaan asam pedas secara kecil-kecilan kira-kira 19 tahun lalu. FOTO Bernama
ASAM pedas ikan jenahak antara menu istimewa yang terdapat di Asam Pedas Pak Man dekat Bukit Katil. Pak Man (gambar kecil) memulakan perniagaan asam pedas secara kecil-kecilan kira-kira 19 tahun lalu. FOTO Bernama
BERNAMA

BERMULA dengan hanya modal RM50, Abdul Rahman Hassan, 69, memulakan perniagaan Asam Pedas secara kecil-kecilan di gerai beratapkan daun Nipah di Ujung Pasir kira-kira 19 tahun lalu.

Abdul Rahman atau mesra dengan panggilan Pak Man, kini mampu berbangga dengan hasil usahanya selama ini, setelah berjaya memiliki sebuah gerai asam pedas di Ujong Pasir dan sebuah restoran dua tingkat di Bukit Katil, yang telah banyak mengubah kehidupan keluarganya.

“Masa mula-mula berniaga dahulu, saya cuma beli sekilo ikan kembong dan seekor ayam, untuk masak asam pedas, itu pun kadang-kadang sahaja habis... pada masa itu nak dapat RM50 sehari pun susah ,” katanya kepada Bernama di restorannya di Melaka.

Katanya berbekalkan kesabaran, selepas tujuh tahun perniagaannya itu dibuka, barulah ia dapat menarik pelanggan yang ramai ke gerainya di Ujong Pasir.

Pak Man berkata, gerainya itu semakin maju sejak 2011, dan bagi menampung jumlah pelanggan yang semakin ramai, beliau membuka cawangan baharu di Bukit Katil pada 2017.

“Kini saya mempunyai 60 orang perkerja yang berkerja dalam dua shift, waktu pagi dan malam... malah saya mendapat bantuan daripada anak, menantu dan keluarga terdekat lain, bagi menguruskan perniagaan ini,” katanya.

Pak Man berkata, resepi asam pedas Melaka yang beliau gunakan merupakan resepi keluarga yang diwarisinya daripada arwah ibunya, Pun Ahmad.

“Ramai pelanggan memuji, asam pedas yang saya masak merupakan asam pedas asli Melaka... namum itu dia orang cakap... bukan saya yang cakap,” katanya sambil ketawa kecil.

Pak Man berkata, berbeza daripada dahulu, kini beliau memerlukan sekurang-kuranganya 50 kilogram (kg) ikan jenahak, pari (30 kg), kembong (40 kg) , Tenggiri (40 kg) dan daging lembu (30 kg) sehari, terutama pada hari minggu dan cuti umum bagi, menampung permintaan pelanggan.

“Walaupun telah menyerahkan perniagaan kepada anak-anaknya beberapa tahun lepas, saya masih datang ke restoran bagi menjaga rasa dan mutu masakan, agar pelanggan tidak merasa kecewa bila menikmati asam pedas di kedai saya,” katanya.

Beliau berkata, kunci kejayaan bagi perniagaan adalah empat perkara iaitu, bersih, sedap, murah dan mesra, yang diamalkannya sejak memulakan perniagaan pada tahun 2000.

“Saya pegang dan ajar anak-anak saya empat perkara ini, yang merupakan wasiat arwah atuk saya Hassan Alwi yang merupakan seorang penghulu, di Kampung Ujong Pasir pada satu ketika dahulu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Jun 2019 @ 3:46 PM