ABDUL Rah'man Mahadi atau lebih dikenali sebagai Rahman. FOTO arkib NSTP
ABDUL Rah'man Mahadi atau lebih dikenali sebagai Rahman. FOTO arkib NSTP
Rudy Imran Shamsudin; Amirul Haswendy; Ardini Sophia; Syafil Syazwan dan Najiy Jefry


ALLAHYARHAM komposer terkenal, Pak Ngah sepatutnya tiba di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang dari Batam, Indonesia, 2.50 petang hari ini tetapi pesawat yang membawanya terpaksa berpatah balik ke Batam berikutan keadaannya yang semakin kritikal.

Bekas peserta program 3 Juara, Abdul Rah’man Mahadi atau Rahman, 27, yang juga anak didik Allahyarham berkata, Pak Ngah bersama beberapa anggota keluarganya berlepas ke Batam, Jumaat lalu untuk urusan kerja.

Bagaimanapun, Jumaat lalu, dia mengadu tidak sedap badan. Arwah kemudian tidak sedarkan diri sebaik dibawa ke hospital di sana.

Keluarganya kemudian mengaturkan penerbangan khas dari Batam, hari ini supaya Allahyarham dapat dirawat di sini. Bagaimanapun, ketika dalam perjalanan, keadaan Pak Ngah semakin kritikal menyebabkan pesawat terpaksa berpatah balik.

Pak Ngah yang dibawa semula ke hospital di Batam bagaimanapun meninggal dunia pada 3.05 petang.

“Saya bersama anaknya sepatutnya menjemput Pak Ngah di lapangan terbang petang tadi. Mengikut perancangan, Pak Ngah akan terus dibawa ke pusat perubatan di Kuala Lumpur sebaik tiba di lapangan terbang.

“Menggigil saya ketika mendapat berita itu. Saya yang sedang memandu ketika itu sangat terkejut,” katanya.

Rahman berkata, ahli keluarganya sudah berada di rumah dan mereka meminta untuk dipercepatkan proses membawa pulang jenazah Pak Ngah,” katanya.

Berita berkaitan:

Pak Ngah sudah tiada

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 September 2018 @ 7:01 PM