SUASANA penduduk Felda Jengka yang bercucuk tanam pelbagai sayuran di hadapan rumah mereka.
SUASANA penduduk Felda Jengka yang bercucuk tanam pelbagai sayuran di hadapan rumah mereka.
Amir Abd Hamid


Bertukar-tukar juadah antara kejiranan berasal negeri berlainan menjelang waktu berbuka puasa kenangan menggembirakan bagi Husain Ismail, 67, antara peneroka terawal Felda Jengka 23, Pahang yang mula dibangunkan sekitar 1974-1975 untuk tanaman sawit.

Lebih dikenali sebagai Pak Teh Wi dalam kalangan keluarganya, beliau berkata, di peringkat awal masuk ke tanah rancangan sebagai peneroka, sesama mereka tidak mengenali kerana terpilih dari pelbagai negeri pelosok negara.

"Peneroka Felda Jengka berasal dari pelbagai negeri seluruh Semenanjung. Jadi tiada identiti kenegerian bagi kawasan penempatan peneroka.

"Budaya termasuk makanan bercampur namun itulah sebenarnya hiburan terawal kepada peneroka. Bercampur dengan kawan pelbagai ragam dari serata Malaysia jadi ia menyeronokkan.

"Yang tak pernah makan budu, cencalok, tempoyak dan sebagainya dapat merasalah sebab amalan kita bertukar-tukar juadah terutama pada Ramadan," katanya yang berasal dari Kampung Sungai Dedap, Yan, Kedah.

Beliau berkata, setiap kali dia dan isteri Jamaliah Bakar, 65, juadah yang dimasak seperti kuih mesti dibuat lebih untuk diagihkan ke rumah jiran.

Ini kerana, katanya, budaya antara kejiranan hantar juadah dan dibalas dengan juadah lain memang automatik berlaku khususnya setiap kali puasa dan raya.

"Apa kita nak balas jika tak sediakan juadah. Mesti ada jiran hantar atau jika tidak pun kita hantar dulu juadah.

"Kita kena biasakan diri dengan pelbagai makanan, perut kena terima semua. Kalau kena terima juadah orang Melaka, kita kena readylah perut bertahan pedas. Kalau juadah orang Kelantan kita kena tahan manisnya.

"Penyudahnya sekarang ini semua jadi sekata dah. Anak-anak dah faham semua. Itu antara untungnya duduk di Felda.

"Contoh Pak Teh buat ketupat pulut, kalau orang Pahang dia buat lemang, orang Selangor pula buat ketupat nasi. Jadi semua makanan itu kita dapat, nasi kerabu, nasi dagang macam-macamlah.

"Kalau ada pisang kami buat style orang utara, buat pengat, buat bubur. Kita kena buat untuk sekurang-kurangnya antara tiga atau empat rumah," katanya.

Pak Teh Wi berkata, sebelum adanya bekalan elektrik di penempatan, penduduk membeli ais blok yang dipotong petak di kedai jika teringin berbuka dengan air sejuk.

Pada masa itu dia juga seperti orang muda lain suka minum ais biasanya air sirap atau oren.

"Nak bagi ais lambat cair, jika beli ais itu awal kita balut dan kena tanam dulu dalam pasir. Sekitar dua tiga minit nak berbuka baru ambil semula ais yang dibeli itu dan basuh untuk digunakan.

"Jika nak guna ais semasa makan sahur, simpan tanam dalam pasir juga. Bolehlah tahan tinggal 50 peratus untuk bersahur.

"Kalau di sebelah utara seperti di Kedah, ais disimpan dalam habuk atau sekam padi di sini (Jengka) pasirlah.

"Bagi penduduk Jengka 14 atau Jengka 15 mereka tinggal berhampiran kilang proses kayu balak, mereka ambil habuk kayu itu untuk digunakan supaya ais tidak cepat cair, macam kami jauh, gunalah pasir. Itu alternatif masa itu bukan sahaja peti sejuk tak ada, bekalan elektrik pun tak ada," katanya.

Menurutnya, jika nak menikmati air buah seperti tembikai atau betik tidak menggunakan mesin pengisar seperti sekarang, sebaliknya dicincang sahaja buah berkenaan sebelum diletakkan ais.

Pak Teh Wi berkata, laungan azan dari corong alat pembesar suara masjid menggunakan bateri boleh didengari untuk memastikan waktu solat termasuk Maghrib untuk berbuka puasa.

"Biarpun kami berbuka dengan hanya bertemankan lampu minyak tanah, berlaukkan ikan kering namun ia memori manis akan dikenang selama-lamanya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 April 2024 @ 7:01 AM