GERAI Wan Zai menyediakan pelbagai hidangan menyelerakan.
GERAI Wan Zai menyediakan pelbagai hidangan menyelerakan.
Oleh Muhammad Shalaby Shahbuddin


Sebut saja Kedai Makan Wan Zai, penduduk sekitar Bukit Mertajam sudah membayangkan ia lokasi makanan terbaik untuk menikmati hidangan bawal goreng panas bersama kuah kari, ulam-ulaman, sambal belacan, kicap dan nasi putih.

Terletak di Medan Selera Astaka di Bandar Perda, kedai makan diusahakan Wan Zainol Wan Musa, 59, yang mesra dipanggil Pak Wan sejak 2007 itu terkenal dengan menu utamanya iaitu bawal goreng panas.

Pak Wan berkata, walaupun hidangan bawal goreng kini sudah menjadi kebiasaan dan mudah didapati di mana-mana gerai atau restoran di kawasan sekitar, prinsip dan sikapnya yang sentiasa memastikan hidangan berkualiti dan memenuhi cita rasa pelanggan menjadi keutamaan.

“Paling penting, saya sentiasa memastikan ikan bawal yang digoreng tidak hangit atau menampakkan warna kehitam-hitaman. Ia perlu digoreng dalam keadaan suhu api normal dan hanya memerlukan masa lima minit untuk siap dihidangkan kepada pelanggan.

“Bagaimanapun, ada bawal yang digoreng garing dan sedikit kehitaman atas permintaan pelanggan yang mahukan ia rapuh supaya lebih sedap dimakan mengikut cita rasa mereka,” katanya yang berasal dari Kedah.

Pak Wan berkata, permintaan terhadap bawal cukup memberangsangkan dan kira-kira 300 ekor ikan itu digoreng setiap hari bagi memenuhi permintaan pelanggan yang ada antaranya datang dari Alor Setar dan Sungai Petani serta Kuala Lumpur.

Secara peribadi, Pak Wan dilihat memberikan kelainan dalam menu utama gerainya itu apabila menyediakan kari dan sambal belacan yang diwarisi dan dipelajari daripada arwah bapanya, Wan Musa Wan Chik.

“Sejak berusia 10 tahun, saya sudah membantu arwah bapa menjalankan perniagaan nasi campur di Bagan Dalam, Butterworth yang dikenali dengan nama kedai Pak Musa, kira-kira 30 tahun lalu.

“Berbekalkan pengalaman itu, saya menggunakan ilmu berkenaan serta menampilkan kelainan rasa dan kepuasan dalam setiap hidangan, sekali gus membuka warung bawal goreng terawal di Bandar Perda pada 2005, sebelum berpindah ke sini dua tahun kemudian,” katanya.

Selain menu set ikan bawal, Wan Zai turut me­nyediakan pelbagai jenis ikan seperti kembung, keli, kerisi, tilapia, siakap dan kerapu. Turut menarik perhatian, ayam goreng kampung, itik goreng dan burung puyuh yang berharga antara RM7 hingga RM8.

“Satu lagi hidangan yang sering menjadi tumpuan ialah set sup ayam kampung yang memberikan kelainan dan kepuasan menerusi ramuan tersendiri.

“Kami tidak menggunakan bawang goreng yang dijual, sebaliknya digoreng sendiri dan dimasukkan dalam sup ayam kampung bagi menghasilkan aroma yang lebih wangi,” kata­nya.

Pak Wan berkata, selepas menikmati bawal goreng panas, ramai pelanggan memilih merasai keenakan air batu campur bersama tiga skop ais krim pada harga RM3.50 yang dianggap pelengkap hida­ngan.

Beliau turut menyediakan keropok lekor asli dibekalkan dari Terengganu yang sedap dicecah bersama ramuan sos sendiri, malah ia turut dijual mentah.

Katanya, Kedai Makan Wan Zai sedia menerima tempahan katering dan menyediakan menu utama itu bagi majlis perkahwinan yang pasti memberikan kepuasan sama apabila bawal digoreng panas-panas sepanjang majlis berlangsung.

“Selain gerai di sini yang beroperasi dari jam 11 pagi hingga 2 pagi setiap hari, cawangan kedua yang sudah dibuka sebelum Ramadan tahun lalu di Jalan Tok Kandu, Permatang Pauh beroperasi mulai jam jam 6 petang.

“Pada masa sama, saya berhasrat membuka cawangan di Butterworth dan Kedah pada penghujung tahun ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 January 2016 @ 6:07 AM