NOORLIZA (kanan) bersama Dr Julaidah (dua dari kanan) mengedar risalah kepada pelanggan kedai makan ketika Program Walkabout Larangan Merokok sekitar Gaya Street. FOTO KHAIRULL AZRY BIDIN
NOORLIZA (kanan) bersama Dr Julaidah (dua dari kanan) mengedar risalah kepada pelanggan kedai makan ketika Program Walkabout Larangan Merokok sekitar Gaya Street. FOTO KHAIRULL AZRY BIDIN
Norasikin Daineh


KURANG 100 aduan diterima Pejabat Kesihatan Kawasan Kota Kinabalu berhubung merokok di premis makanan sejak larangan itu dikuatkuasa pada 1 Februari lalu di negeri ini.

Pegawai Kesihatan Pejabat Kesihatan Kawasan Kota Kinabalu, Dr Julaidah Sharip berkata, angka ini menunjukkan sudah ada kesedaran dalam kalangan orang ramai berhubung penguatkuasaan Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau yang kini dilanjutkan sehingga 31 Disember.

“Setakat ini, kita terima hampir 100 aduan berkaitan merokok di tempat awam dan ini menunjukkan kesedaran larangan merokok semakin tinggi.

“Berdasarkan aduan diterima, kita akan mengambil tindakan menghubungi semula pengadu untuk mendapatkan maklumat termasuk tempat dan masa kejadian,” katanya ketika ditemui dalam Program Walkabout Larangan Merokok di sekitar Jalan Gaya, Kota Kinabalu, hari ini.

Katanya, selepas menerima maklumat, pihaknya akan meninjau premis dimaksudkan untuk pengesahan dan biasanya semua pemilik premis memberi kerjasama.

“Kebanyakan mereka mengaku masih ada pelanggan merokok di premis, namun akur apabila diberi teguran,” katanya.

Terdahulu, mengulas lanjut berhubung program itu, Julaidah berkata, hasil tinjauannya mendapati semua premis sudah mempamerkan poster larangan merokok di tempat yang mudah dilihat pelanggan.

“Kita juga mendapati pelanggan yang merokok di premis makanan semakin berkurangan,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), Noorliza Awang Alip berkata, DBKK hanya membantu usaha dilaksanakan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam mendidik pelanggan untuk tidak merokok di premis makanan terutama di sekitar Kota Kinabalu sebelum tindakan diambil pada 1 Januari depan.

“Setakat ini, kita mendapati beberapa premis memang tiada pelanggan merokok dan apabila ditanya pemilik premis, kebanyakan mereka mengakui tiada masalah berhubung larangan itu,” katanya.

Tempoh pelaksanaan aktiviti penguatkuasaan pendidikan bagi pewartaan tempat makan sebagai larangan merokok dilanjutkan sehingga hujung tahun ini termasuk pelaksanaan hukuman.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Jun 2019 @ 11:59 AM