ANGGOTA penguat kuasa melaksanakan operasi Penguatkuasaan Larangan Merokok di Premis Makanan.  FOTO Ihsan Pejabat Kesihatan Daerah Sipitang.
ANGGOTA penguat kuasa melaksanakan operasi Penguatkuasaan Larangan Merokok di Premis Makanan. FOTO Ihsan Pejabat Kesihatan Daerah Sipitang.
Norasikin Daineh


REMAJA lelaki berusia 17 tahun antara yang dikompaun merokok di premis makanan dalam Operasi Penguatkuasaan Larangan Merokok di Premis Makanan di Sipitang, kelmarin.

Dalam operasi bermula jam 5.30 petang itu, satu notis dikeluarkan kepada orang awam kerana merokok di premis makanan kerana melakukan kesalahan mengikut peraturan 11(1)(d) Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004.

Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran Kanan Pejabat Kesihatan Daerah Sipitang Sabry Orog berkata, operasi yang disertai 12 kakitangan itu mendapati masih ada individu melakukan kesalahan itu walaupun penguatkuasaan larangan merokok bermula 1 Januari lalu sudah diuar-uarkan.

“Satu notis dikeluarkan kepada seorang remaja dan dikenakan kompaun sebanyak RM50. Dua premis makanan turut diberikan notis kerana kesalahan mengikut Peraturan 12(1)(a) selepas didapati gagal memasang tanda larangan merokok.

“Penguatkuasaan ini turut mewajibkan premis makanan mempamerkan tanda larangan merokok bagaimanapun pemilik premis gagal berbuat demikian,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Katanya, operasi ini akan dilaksanakan secara berterusan dan orang awam khususnya perokok tegar dinasihatkan supaya tidak merokok atau menggunakan rokok elektronik di kawasan larangan merokok.

“Alasan tidak tahu penguatkuasaan dilaksanakan sepatutnya tidak berlaku kerana ia sudah diuar-uarkan sejak tahun lalu.

“Kita harap orang awam peka dengan perkara ini bagi mengelak daripada dikenakan kompaun ketika operasi dilaksanakan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 January 2020 @ 12:25 PM