SUASANA Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Perdana Menteri dan Ahli Jemaah Menteri di Seri Perdana tahun lalu. FOTO Aizuddin Saad
SUASANA Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Perdana Menteri dan Ahli Jemaah Menteri di Seri Perdana tahun lalu. FOTO Aizuddin Saad
Suhaila Shahrul Annuar


PERDANA Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bersama Ahli Jemaah Menteri akan mengadakan Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri, di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya pada Hari Raya Pertama bersamaan 1 Syawal 1440H, bermula jam 10 pagi hingga 4.30 petang.

Jabatan Perdana Menteri dalam satu kenyataan berkata, kira-kira 50,000 pengunjung dijangka hadir memeriahkan majlis itu.

Katanya, majlis itu bertujuan beramah mesra serta mengeratkan silaturahim antara pemimpin dengan rakyat, di samping meningkatkan persefahaman masyarakat dan berkongsi kegembiraan bersama golongan kurang bernasib baik.

“Orang ramai dijemput hadir dengan memakai pakaian bersesuaian bagi menghadiri majlis itu.

“Bagi memudahkan pengunjung ke majlis itu, perkhidmatan bas percuma bermula jam 9.30 pagi turut disediakan di tiga lokasi iaitu Putrajaya Sentral, Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Masjid Putra dengan kekerapan setiap 15 hingga 20 minit.

“Pengunjung dinasihatkan agar menaiki bas di lokasi sama untuk pergi balik dan meninggalkan kenderaan masing-masing di tiga lokasi itu bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas.

“Diharap penganjuran Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Perdana Menteri dan Jemaah Menteri dapat mengeratkan lagi kebersamaan, perpaduan, keharmonian serta memberikan keceriaan untuk rakyat Malaysia,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Jun 2019 @ 10:48 AM