PENIAGA tapak Bazar Ramadan Dataran Shahbandar merayu larangan dikaji semula.
PENIAGA tapak Bazar Ramadan Dataran Shahbandar merayu larangan dikaji semula.
Ahmad Rabiul Zulkifli


LEBIH 1,000 peniaga di tapak niaga bazar Ramadan di Dataran Shahbandar merayu kerajaan negeri mengkaji semula arahan larangan berniaga malam raya seperti dikeluarkan baru-baru ini.

Rata-rata peniaga akur dengan alasan diberikan berkaitan isu sampah, bagaimanapun tindakan diambil dengan melarang peniaga daripada berniaga pada malam raya bukan jalan penyelesaian terbaik.

Sukri Abu, 53, dari Kampung Losong berkata, dia berniaga di kawasan itu setiap kali Ramadan sejak 15 tahun lalu dan menjadi tradisi berniaga pada malam raya sebagai jualan kemuncak.

“Tidak munasabah kerajaan negeri menghalang kami berniaga pada malam raya sedangkan pada waktu itu jualan paling laris.

“Menjadi tabiat penduduk di negeri ini gemar membeli barangan persiapan raya temasuk baju dan makanan raya pada saat-saat akhir.

“Memang janggal malam raya kami tidak berniaga sedangkan pada malam penghabisan itu yang akan menentukan kami untung atau tidak,” katanya yang berniaga pakaian terpakai.

Azrina Arifin, 35, dari Kampung Pulau Kambing berkata, sebelum ini pelbagai isu timbul berkaitan tapak niaga itu antaranya soal pembahagian dan sewa tapak serta keengganan pihak pengurusan tapak niaga menyediakan lampu di tapak niaga.

“Semua isu sebelum ini kami masih boleh menerimanya, bersabar dan cuba untuk positif, tapi bila ada arahan larangan berniaga pada malam raya, semua peniaga tak boleh terima.

“Harap pada malam raya saja jualan kami laris kerana orang ramai termasuk perantau pulang ke kampung datang berkunjung dan membeli di saat akhir,” katanya.

Menurutnya, memandangkan dia berniaga pelbagai jenis kacang dan biskut raya, malam raya nadi kepada perniagaannya.

“Biasanya awal-awal (Ramadan) orang tak beli lagi kacang dan biskut raya kerana tunggu malam. Setiap tahun menjadi tradisi pada malam raya semua jualan diturunkan harga dan membuat lelongan oleh itu tidak pelik perniagaan dilanjutkan hingga ke jam 5 pagi,” katanya.

“Saya harap kerajaan negeri menimbang semula arahan itu dan mencari jalan penyelesaian lain berkaitan isu sampah,” katanya.

Menurutnya, jika diberikan peluang berniaga pada malam raya, peniaga bersedia memberi kerjasama bagi menyelesaikan masalah sampah itu.

“Seperti tahun lalu, semua peniaga mengumpul RM10 setiap seorang untuk menyelesaikan isu sampah tidak diuruskan pada pagi raya,” katanya.

Abdul Ghanee Zailan, 34, dari Kampung Bukit Payung pula berkata, peniagaannya merosot berbanding tahun lalu dan arahan larangan berniaga pada malam raya lebih memburukkan keadaan.

“Kami mula berniaga sejak awal Ramadan iaitu lebih awal daripada biasa tetapi apa guna berniaga awal jika tiada pembeli. Pelanggan mula membeli seminggu sebelum Hari Raya dan malam raya ialah kemuncaknya.

“Pada malam raya kami berpeluang mendapat keuntungan lebih sedikit dan boleh digunakan untuk membayar gaji pekerja.

“Ramai peniaga masih tak dapat pulangan modal, oleh itu kami merayu kerajaan negeri beri kebenaran berniaga pada malam raya,” katanya.

Kerajaan negeri sebelum ini ada mengeluarkan arahan supaya semua operasi peniagaan termasuk di bazar Ramadan dan pasar raya dihentikan pada 29 Ramadan berbanding kelazimannya sehingga awal pagi Aidilfitri.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri Dr Alias Razak berkata, penamatan operasi lebih awal itu untuk membolehkan kerja-kerja pembersihan dilakukan.

Ia juga sebagai galakan kepada umat Islam mengimarahkan malam Aidilfitri bersama jemaah di masjid dan ahli keluarga.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Jun 2019 @ 6:00 AM