Datuk Jafni Md Shukor. FOTO FAIL BERNAMA
Datuk Jafni Md Shukor. FOTO FAIL BERNAMA
Izz Laily Hussein


Johor Bahru: Peniaga warga asing dilarang menjalankan aktiviti perniagaan sama ada di tapak Bazar Ramadan atau Bazar Aidilfitri di seluruh Johor sepanjang bulan Ramadan ini.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, pihak berkuasa tempatan (PBT) juga tidak pernah dan tidak akan mengeluarkan sebarang lesen perniagaan kecil kepada warga asing.

"Sekiranya ada warga asing berniaga termasuk di celah-celah bazar, orang ramai diminta laporkan kepada pihak berkuasa dan kita akan ambil tindakan denda dan merampas barangan jualan mereka.

"Warga asing pun tahu sebenarnya mereka tidak boleh berniaga sebab itu di peringkat PBT, khususnya dalam kawasan Greater Johor Bahru, kita sedang menguatkuasakan tindakan kepada peniaga warga asing termasuk di Bazar Ramadan dan Bazar Aidilfitri," katanya selepas melawat tapak Bazar Ramadan di Bandar Baru Uda di sini, hari ini.

Sementara itu, beliau berkata, kerajaan negeri sudah meluluskan sebanyak 9,769 petak niaga membabitkan 182 lokasi Bazar Ramadan dan 1,904 petak niaga pula diluluskan bagi 25 lokasi Bazar Aidilfitri tahun ini.

"Peniaga yang terlibat perlu mematuhi setiap peraturan yang ditetapkan PBT masing-masing termasuk larangan menjual barangan cetak rompak dan menjaga kebersihan tapak perniagaan masing-masing," katanya.

Pada masa sama, Mohd Jafni berkata, semua PBT di negeri ini akan bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan (KKM) dalam memastikan aspek kebersihan dipatuhi peniaga bagi kedua-dua bazar.

"Peniaga perlu mematuhi Akta Makanan 1983 bagi menjaga keselamatan dan kualiti makanan yang dijual.

"Ini perkara biasa dan sepatutnya mereka maklum dengan perkara ini kerana majoriti daripada mereka adalah peniaga di pasar malam, pasar pagi atau pasar tani," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Mac 2024 @ 7:32 PM