BAZAR ramadan sebelum PKP. FOTO arkib NSTP
BAZAR ramadan sebelum PKP. FOTO arkib NSTP
Aizat Sharif


Kangar: Lima lokasi sudah ditetapkan oleh Majlis Perbandaran Kangar (MPKPs) sebagai tapak bazar Ramadan di Perlis pada tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Penjaja dan Peniaga Kecil, Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan dan Pembangunan Usahawan, Industri Kecil dan Sederhana Negeri Perlis, Azizan Sulaiman berkata, ini adalah tahun pertama bazar Ramadan kembali beroperasi di negeri itu selepas larangan penganjurannya pada tahun lalu berikutan penularan pandemik Covid-19 yang serius.

"Lokasi kawasan tapak bazar Ramadan yang sudah ditetapkan pada tahun ini adalah di Persiaran Wawasan di Kangar, tapak Pasar Baru Arau di Arau dan di hadapan Rancangan Perumahan Awam (RPA) Pauh di Pauh.

"Selain itu, dua lagi lokasi tapak bazar Ramadan yang dibenarkan beroperasi adalah di tapak Pasar Malam Lama Kuala Perlis dan di hadapan Taman Singgahsana, Padang Besar," katanya kepada Harian Metro hari ini.

Katanya, pengunjung dan peniaga bazar Ramadan berkenaan juga tetap perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan sebelum ini.

"Selain itu juga, setiap peniaga yang memohon untuk berniaga di setiap bazar Ramadan berkenaan dikenakan bayaran RM200 bagi lot biasa manakala RM250 bagi peniaga yang ingin berniaga air tebu atau air kelapa.

"Oleh itu, borang permohonan berniaga akan mula dikeluarkan pada 30 Mac dan bayaran serta pengembalian borang akan mula diterima pada keesokan harinya iaitu 31 Mac yang mana tarikh tutup bayaran adalah pada 2 April hadapan.

"Borang permohonan berniaga di tapak Ramadan ini boleh diperoleh di Ibu Pejabat MPKPs, Kangar dan Pejabat Cawangan MPKPs di Arau, Kuala Perlis dan Padang Besar," katanya.

Azizan berkata, setiap lot niaga yang ditawarkan adalah terhad dan kaedah pengagihan borang adalah secara 'siapa cepat dia dapat' (first come first serve).

Selain itu, hanya borang yang dikeluarkan di kaunter pejabat MPKPs pada hari yang ditetapkan sahaja yang sah untuk permohonan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Mac 2021 @ 10:23 AM