Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kelaboran, Mohd Zaki Ibrahim, 52, meninggal dunia jam 2.45 petang waktu Arab Saudi akibat komplikasi kencing manis di Hospital King Abdul Aziz, Makkah hari ini. NSTP/IHSAN PEMBACA
Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kelaboran, Mohd Zaki Ibrahim, 52, meninggal dunia jam 2.45 petang waktu Arab Saudi akibat komplikasi kencing manis di Hospital King Abdul Aziz, Makkah hari ini. NSTP/IHSAN PEMBACA
Siti Rohana Idris


BEKAS Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kelaboran, Mohd Zaki Ibrahim, 52, meninggal dunia, pada 2.45 petang waktu Arab Saudi di Hospital King Abdul Aziz, Makkah, hari ini.

Allahyarham dilaporkan dalam keadaan kritikal sejak dimasukkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital itu pada malam Rabu lalu akibat komplikasi kencing manis.

Perkara itu disahkan isterinya, Raihan Zaki Yusof melalui satu hantaran di Facebook kira-kira jam 8 malam tadi.

“Allah lebih mengasihi dia. Dijemput kembali ke Rahmatullah di hari Jumaat, akhir Ramadan di tanah suci Makkah,” katanya.

Allahyarham Mohd Zaki mengerjakan umrah bersama isteri dan empat anak sejak seminggu lalu dan dijangka pulang 2 Syawal ini.

Beliau mula menjadi ADUN Kelaboran di Kelantan pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2004, apabila menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Wan Johani Wan Hussein.

Beliau mengekalkan kemenangannya pada PRU 2008 dan PRU-13, kedua-duanya dengan menewaskan calon BN, Wan Hanapi Wan Yaakob.

Bagaimanapun beliau tidak bertanding dalam PRU-14 lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Mei 2019 @ 10:16 PM